Besarnya 'Mamat'

No Image Caption
A
A
A

KUALA NERUS - Saiz seekor buaya tembaga digelar Mamat yang muncul semula di kawasan lombong tinggal di Kampung Tepoh di sini dikatakan semakin membesar.

Menerusi video dimuat naik seorang pengguna laman sosial Facebook, Anuar Ngah pada Rabu, dia mengatakan saiz reptilia yang dianggarkan berusia enam tahun itu kini dipercayai mencecah 5.79 meter.

Berdasarkan status dimuat naik itu, Anuar berkata, dia berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mengambil tindakan kerana saiz haiwan tersebut semakin membesar.

"Harap pihak Perhilitan dapat pindahkan Mamat ke habitat yang sesuai kerana saiznya dilihat semakin besar," katanya.

Aksi Mamat ketika menyambar makanan yang diberikan penduduk di kawasan terbabit. - Foto Ihsan pembaca
Aksi Mamat ketika menyambar makanan yang diberikan penduduk di kawasan terbabit. - Foto Ihsan pembaca

Dalam pada itu, beberapa video memaparkan aksi Mamat yang dikongsi Anuar Ngah di laman Facebooknya mendapat pelbagai reaksi netizen.

Rata-ratanya terkejut menyaksikan perubahan saiz buaya tersebut.

Sebelum ini, pada 2019 kisah Mamat menarik perhatian penduduk di sekitar kampung itu apabila ia muncul kembali setelah menghilangkan diri selama dua tahun di kawasan lombong tinggal itu.

Artikel Berkaitan:

Saiz Mamat pada waktu itu bertambah besar malah reptilia yang dianggarkan berusia lima tahun ketika itu dikatakan membesar hampir tiga meter.

Tangkap layar video dimuat naik Anuar Ngah di laman Facebooknya memaparkan kelibat Mamat yang muncul dari dalam air di kawasan lombong tinggal. - Foto Ihsan pembaca
Tangkap layar video dimuat naik Anuar Ngah di laman Facebooknya memaparkan kelibat Mamat yang muncul dari dalam air di kawasan lombong tinggal. - Foto Ihsan pembaca

Kisah Mamat sebelum ini pernah tular pada 2016 ketika reptilia pemangsa itu sebesar satu meter ketika ditemui penduduk kampung di kawasan berkenaan.

Bermula dengan memberi makan, hubungan Mamat dan penduduk sekitar kawasan itu mula erat malah telatah haiwan itu yang jinak dan tidak agresif menyebabkan penduduk kampung itu mula menyayangi haiwan berkenaan.

Pada Oktober 2019, Perhilitan Terengganu telah memasang perangkap bagi menangkap buaya berkenaan bagi menjamin keselamatan penduduk kampung sekali gus mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, kelibat Mamat dikatakan tidak kelihatan selepas itu dan Mamat dikatakan gagal dikesan kerana telah menghilangkan diri.