Pasukan khas siasat pelanggaran SOP di surau Pauh Lima

Shafien Mamat
Shafien Mamat
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menubuhkan satu pasukan khas bagi melakukan siasatan berhubung isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh sekumpulan kariah yang didakwa solat berjemaah dalam keadaan gelap di sebuah surau ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 di Kampung Pauh Lima di sini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya telah menerima laporan berkenaan kes tersebut pada Rabu dan telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat secara menyeluruh kes berkenaan.

“Satu laporan polis telah dibuat dan kita telah buka kertas siasatan berhubung isu berkenaan bagi mendapatkan keterangan lanjut daripada saksi dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan di sini pada Khamis.

Mengulas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pauh Lima, Shafien berkata, pihaknya mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk kampung dan masing-masing patuh pada arahan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan lima individu telah dipanggil untuk memberi keterangan melibatkan isu pelanggaran SOP majlis hari raya yang didakwa diadakan di sebuah rumah seorang ahli politik di Machang, baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan bukti yang ada, mungkin lebih ramai saksi yang akan dipanggil dari masa ke masa dan keputusan lanjut melibatkan kompaun akan dimaklumkan selepas siasatan dilakukan.

“Banyak kesalahan yang dilakukan antaranya tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan sebagainya. Kita akan perincikan nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan: