Peluang syarikat tingkat perkhidmatan jalur lebar

HASNUL ZULKARNAIN
HASNUL ZULKARNAIN
A
A
A
IPOH - Kerajaan negeri membuka peluang kepada tujuh syarikat lain dalam usaha meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi dan jalur lebar di seluruh daerah.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, ia merupakan tindakan awal yang diambil dengan memecahkan monopoli yang dikuasai dua syarikat sebelum ini dalam membina menara telekomunikasi.

"Kita buka pasaran kepada tujuh syarikat yang ada sekarang ini maka, lebih mudah pihak telco membuat pembinaan menara bukan sahaja dI Tapah malah di lain-lain kawasan.

"Kita telah mencadangkan empat syarikat tersebut menjalankan projek pembinaan fiber optik yang akan meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar," katanya ketika sesi soalan lisan Sidang Dun ke-14 Perak, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Loh Sze Yee (DAP-Jalong) dan soalan tambahan Datuk Samsudin Abu Hassan (BN- Ayer Kuning).

Menurutnya, satu laporan positif telekomunikasi dan jalur lebar dijangka diperolehi tahun hadapan selepas proses lantikan berakhir Disember ini.

Hasnul turut meminta pihak penyedia perkhidmatan menyerahkan senarai pembangunan struktur telekomunikasi bagi mengenalpasti jumlah menara yang beroperasi secara haram di negeri ini.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya tidak berbuat demikian sebelum 31 Disember ini.

"Pihak terlibat perlu menyerahkan senarai struktur telekomunikasi bagi tujuan pemutihan kepada PBT dan melaksanakan proses mendapatkan permit.
Artikel Berkaitan:


"Sekiranya tiada tindakan lanjut, PBT akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengeluarkan notis dan penguatkuasaan ke atas struktur tersebut selepas 31 Disember," katanya.