Sorok rokok seludup dalam timbunan ikan

Cubaan sindiket menyeludup rokok tidak bercukai dalam timbunan ikan di Kompleks Sultan Abu Bakar berjaya dipatahkan pihak berkuasa pada 3 Mei.
Cubaan sindiket menyeludup rokok tidak bercukai dalam timbunan ikan di Kompleks Sultan Abu Bakar berjaya dipatahkan pihak berkuasa pada 3 Mei.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cubaan sindiket penyeludupan menyembunyikan 257,400 batang rokok bernilai RM61,776 di bawah timbunan ikan merah dan jenahak sebelum dihantar ke negara jiran berjaya dipatahkan pihak berkuasa.

Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, kegiatan penyeludupan itu berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menerusi pemeriksaan yang dilakukan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Gelang Patah pada 3 Mei lalu.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang dilakukan anggota bahagian penguat kuasa ke atas sebuah lori tiga tan telah menemukan sejumlah rokok putih tidak bercukai di bawah timbunan ikan-ikan segar yang dimuatkan di dalam 12 tong ikan.

"Pihak berkuasa memeriksa lori berkenaan selepas timbul keraguan dari segi bilangan atau kuantiti permit yang dimohon dengan berat ikan serta bilangan tong yang digunakan, di mana jumlahnya didapati tidak sepadan.

“Ikut logik untuk tong yang digunakan boleh memuatkan kira-kira 1.3 tan tetapi permit yang dimohon hanya dalam 700 kilogram (kg)," katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam di sini pada Khamis.

Sazali (tengah) menunjukkan rokok yang cuba diseludup dalam timbunan ikan di Kompleks Sultan Abu Bakar.
Sazali (tengah) menunjukkan rokok yang cuba diseludup dalam timbunan ikan di Kompleks Sultan Abu Bakar.

Sazali berkata, seorang pemandu dan kelindan yang merupakan warga tempatan berusia lingkungan 30 hingga 60 tahun telah ditahan bagi siasatan lanjut.

Bagaimanapun katanya, hasil siasatan dilakukan ke atas pemandu dan kelindan terbabit, mereka tidak mengetahui tong ikan berkenaan diisi dengan rokok dan dibebaskan dengan jaminan RM20,000.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan kini tertumpu kepada ejen penghantaran dan syarikat pengeksport ikan yang beralamat di Kulai. Dipercayai ikan terbabit diambil di Pontian.

"Pelbagai taktik digunakan penyeludup untuk mengaburi mata pihak berkuasa termasuk menyembunyikan rokok tidak bercukai di dalam perabot, pintu dan konkrit sebelum ini," katanya.

Katanya, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 139 Akta Kastam 1967.