'Zionis layak digelar pengganas'

Letupan akibat serangan udara Israel di bandar Rafah di selatan Jalur Gaza. - Foto Xinhua
Letupan akibat serangan udara Israel di bandar Rafah di selatan Jalur Gaza. - Foto Xinhua
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan Zionis menyerang, membunuh dan merampas bumi umat Islam Palestin adalah keganasan yang layak digelar sebagai pengganas.

Bahkan kata Setiausaha Majlis Syura' Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, kekejaman Israel itu merupakan jenayah antarabangsa yang perlu disekat dan dihalang dunia.

"Sebarang penentangan oleh rakyat Palestin terhadap pencerobohan Zionis Yahudi demi mempertahankan tanah air, nyawa, kehormatan dan harta benda mereka adalah

perjuangan yang menepati hak asasi rakyat yang dizalimi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, dalam Muzakarah Majlis Syura ‘Ulamak Pas yang diadakan secara maya pada Selasa lalu memutuskan pendirian selari dengan Malaysia yang mengutuk pendudukan Israel ke atas tanah Palestin.

Menara yang musnah akibat serangan udara Israel di Kota Gaza. - Foto Xinhua
Menara yang musnah akibat serangan udara Israel di Kota Gaza. - Foto Xinhua

"Kesan pencerobohan Zionis Yahudi ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa ratusan ribu rakyat Palestin manakala jutaan mereka terusir keluar daripada negara sendiri," katanya.

Beliau berkata, sebarang usaha normalisasi dengan Israel perlu ditolak dan disanggah.

Artikel Berkaitan:

"Umat Islam dan masyarakat seluruh dunia diseru bersama membantu dan menyokong perjuangan Palestin untuk mendapatkan hak mereka di bumi yang dijajah dan dirampas oleh Zionis Yahudi dengan pelbagai cara.

"Ia sama ada menerusi kuasa politik dan suara diplomatik di peringkat antarabangsa mahupun kuasa ekonomi melibatkan harta benda," katanya.

Sehubungan itu, Khairuddin berkata, Pas mendesak Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) untuk menggandakan peranan menggembleng tenaga umat Islam dalam memperjuangkan perlindungan antarabangsa kepada warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

"Seluruh umat Islam diseru untuk sentiasa melakukan Qunut Nazilah memohon keselamatan untuk umat Islam Palestin," katanya.