Sila log masuk terlebih dahulu.

Kerajaan gagal lucut wang RM114 juta milik Najib, UMNO

 Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan Malaysia gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis untuk melucut hak wang yang didakwa milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO yang disita di premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd sebanyak RM114,164,393.44.

Ia selepas Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan pendakwaan selaku pemohon.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung status quo wang itu sama ada ia perlu dikembalikan kepada pemiliknya atau disimpan oleh kerajaan.

Ketika membaca penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, pemohon gagal membuktikan wang yang disita adalah hasil daripada kesalahan aktiviti wang haram atau diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.

“Pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram iaitu Asisten Komisioner D Rajagopal gagal untuk menunjukkan wang itu adalah harta curi, hasil pecah amanah jenayah atau penipuan.

“Beliau juga gagal mengenal pasti siapa yang diamanahkan dengan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), siapa yang mempunyai penguasaan dominannya, siapa yang menyalah gunakannya dan gagal menjelaskan bagaimana Najib adalah ejen 1MDB,” katanya.

Menurut beliau, wang yang disita merupakan mata wang asing dan ringgit Malaysia selain pemohon gagal mengemukakan keterangan bahawa mana-mana penerima telah menukarkannya ke mata wang asing sebelum mengembalikannya kepada Najib dalam bentuk mata wang asing.

Beliau berkata, kenyataan yang dirakam daripada penerima wang daripada akaun Ambank Najib hanya menyatakan sama ada mereka telah menggunakan wang itu atau mereka tidak boleh mengira atau tidak boleh mengesahkan perbelanjaan atau diberi kepada pihak ketiga tidak dikenali/atau dikenali.

Artikel Berkaitan:

“Tiada keterangan bahawa wang yang diterima oleh penerima dikembalikan kepada Najib dalam bentuk wang tunai,” katanya.

Maka Muhammad Jamil berkata, mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan kaitan antara wang dalam akaun Ambank milik Najib dengan wang yang disita.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, manakala Najib dan UMNO diwakili masing-masing oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta Tania Scivetti.

Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44.

Najib dan UMNO merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu.