Pulau Pinang mohon syarikat tawar sumbangan vaksin beri penjelasan

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Syarikat swasta yang menawarkan sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan negeri sebelum ini perlu tampil memberi penjelasan bagi membersihkan nama serta imej mereka, demikian gesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Ia berikutan dakwaan serius Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa syarikat tersebut merupakan satu syarikat yang ‘bogus’ dan tawaran mereka adalah satu ‘scam’.

“Dakwaan serius itu turut mewajibkan syarikat tersebut dan pengarah yang dinamakan menteri untuk tampil menolak dakwaan berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulau Pinang kena scam: Khairy

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri telah mengambil tindakan berhemah sebaik menerima tawaran vaksin itu melalui surat bertarikh 1 Februari 2021 dan pihaknya telah memohon pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang yang kemudiannya meminta supaya ia dipanjangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk nasihat lanjut.

Susulan itu, pada 12 Mac lepas, katanya, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah telah memberi jawapan bahawa sumbangan vaksin itu tidak perlu dipertimbang kerana kerajaan Persekutuan telah melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, namun isu status syarikat tersebut langsung tak disentuhnya.

“Kerajaan negeri dengan ini tidak berupaya menyusuli perkara ini kerana tidak dapat mengemukakan surat perakuan KKM kepada syarikat berkenaan untuk membolehkan mereka meneruskan rundingan dengan pihak pengeluar vaksin.

“Kerajaan negeri telah melakukan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam isu ini kerana tawaran vaksin ini akan dapat diberikan kepada rakyat Pulau Pinang demi menjaga keselamatan mereka terhadap virus Covid-19,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: