Tujuh ditahan disyaki pecah kedai, larikan mesin bitcoin

Mohamad Noor menunjukkan mesin Bitcoin yang dirampas susulan penahanan tujuh suspek pecah kedai di sini, awal pagi pada Rabu.
Mohamad Noor menunjukkan mesin Bitcoin yang dirampas susulan penahanan tujuh suspek pecah kedai di sini, awal pagi pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seramai tujuh lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian pecah kedai dan melarikan mesin mata wang digital Bitcoin dari sebuah premis di Kampung Sungai Karang Pantai di sini pada awal pagi Rabu.

Kesemua lelaki berusia 22 hingga 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 pagi ketika sedang memunggah peralatan berkenaan ke dalam sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Menurutnya, kesemua mereka dikompaun RM2,000 setiap seorang kerana didapati turut melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Susulan penahanan suspek, polis turut merampas 66 mesin Bitcon dianggarkan bernilai RM50,000, lori yang digunakan, sebuah kereta jenis Proton Wira milik salah seorang suspek dan beberapa peralatan pecah rumah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini pada Rabu.

Lori yang membawa muatan mesin Bitcoin yang cuba dilarikan tujuh suspek dirampas bagi membantu siasatan.
Lori yang membawa muatan mesin Bitcoin yang cuba dilarikan tujuh suspek dirampas bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Mohamad Noor berkata, kegiatan itu dibongkar sepasukan anggota Pasukan Petugas Khas Covid-19 dan Pencegahan Jenayah dari Balai Polis Beserah yang kebetulan membuat pemantauan di sekitar kawasan tebabit.

"Semua suspek yang merupakan warga tempatan itu didapati turut memiliki rekod jenayah lampau termasuk berkait kes dadah.

Artikel Berkaitan:

"Mereka kini direman selama empat hari sehingga 22 Mei depan bagi membantu siasatan," katanya.

Mohamad Noor menunjukkan peralatan pecah rumah dan kereta milik suspek yang dirampas berkait kes pecah kedai larikan mesin Bitcon di Sungai Karang Pantai di sini pada awal pagi Rabu.
Mohamad Noor menunjukkan peralatan pecah rumah dan kereta milik suspek yang dirampas berkait kes pecah kedai larikan mesin Bitcon di Sungai Karang Pantai di sini pada awal pagi Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenalpasti kegiatan itu didalangi sindiket tertentu.

"Kita tidak menolak kemungkinan kegiatan ini melibatkan sindiket dan didalangi pihak yang berkepakaran dalam aktiviti melombong bitcoin.

"Pada masa sama pihak polis turut mengesan pemilik lori, pemilik premis dan pihak yang menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin di premis berkenaan yang mungkin beroperasi secara haram," katanya.

Mohamad Noor berkata, siasatan turut dijalankan sama ada kegiatan pecah rumah itu menyasarkan kepada premis perlombongan Bitcoin dan peralatan yang dilarikan akan diserahkan kepada pihak lain atau menjualnya sebagai barangan lusuh.