Mufti Perak positif Covid-19

Harussani Zakaria
Harussani Zakaria
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria disahkan positif Covid-19.

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, beliau kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

"Ketika ini, Tan Sri (Harussani) masih menerima rawatan di HRPB. Marilah kita semua mendoakan kesembuhan beliau," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Turut disahkan positif setakat ini adalah empat kakitangan Jabatan Mufti Perak.

Sebelum itu, tular satu mesej di WhatsApp menyatakan Harussani positif Covid-19 sejak 11 Mei lalu dan memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas, bagaimanapun beliau dilaporkan masih dalam keadaan sedar.

Mengulas dakwaan itu, Zamri berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada ahli keluarga.

"Saya hanya boleh sahkan beliau masih dirawat di HRPB, sama ada beliau memerlukan bantuan oksigen dan sebagainya, itu perlu dirujuk kepada ahli keluarganya," katanya.

Harussani, 82, dilantik sebagai Mufti Perak bermula tahun 1985 sehingga kini dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun Pusat.

Artikel Berkaitan:

Antara jawatan disandang termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks al-Quran, Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak dan sebagainya.