42 masjid diarah tutup dalam tempoh Januari-Mei

Masjid Negeri ditutup selama seminggu bermula Jumaat lalu susulan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. (Gambar kecil: Aminuddin Harun)
Masjid Negeri ditutup selama seminggu bermula Jumaat lalu susulan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. (Gambar kecil: Aminuddin Harun)
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 42 masjid diarah tutup sementara dalam tempoh Januari sehingga Mei setakat ini susulan kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah di Negeri Sembilan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tiga masjid pula diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Sehingga 18 Mei sebanyak 6.98 peratus masjid dari 301 masjid di negeri ini terpaksa ditutup.

"Daripada 1,020 surau, 15 diarah berbuat demikian susulan terdapat pengesanan kes Covid-19," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Beliau berkata, terdapat masjid dan surau yang diarah tutup dalam tempoh tujuh atau 14 hari telah dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Selain itu katanya, beberapa kluster keagamaan telah dikesan di Negeri Sembilan dan masih aktif sehingga hari ini.

Menurutnya, sebarang keputusan yang dibuat kerajaan negeri adalah berdasarkan syor dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan melihat trend kes harian Covid-19 yang semakin meningkat.

"Ketika PKP 2.0, kerajaan negeri mengambil pendekatan mesra jemaah dengan membenarkan semua masjid dan surau menjalankan solat Jumaat dan solat Fardhu berjemaah bermula pada Jun 2020.

Artikel Berkaitan:

"Semenjak itu masjid dan surau terus dibenarkan untuk diimarahkan mengikut kapasiti ruang dengan penjarakan serta pematuhan SOP ditetapkan," katanya.

Beliau menasihatkan masyarakat supaya mematuhi SOP ditetapkan serta menghormati barisan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan ahli jawatankuasa masjid serta surau yang menjalankan tugas.