KWSP cawangan Alor Setar ditutup sementara berikutan pelaksanaan PKPD

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup sementara pejabat dan kaunter perkhidmatannya di Alor Setar bermula Rabu, 19 Mei sehingga dimaklumkan kelak, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

PKPD dikuatkuasakan bagi membendung penyebaran Covid-19 di daerah Kota Setar, Kedah bermula esok sehingga 1 Jun, 2021.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata semua permohonan Janji Temu Online (JTO) di pejabat Alor Setar akan dibatalkan, dan ahli yang telah membuat janji temu di pejabat Alor Setar yang dijadualkan dalam tempoh PKPD perlu membuat semula janji temu mereka setelah perintah kawalan tamat.

“Pada waktu yang mencabar ini, KWSP komited untuk terus memberi perkhidmatan kepada ahli di cawangan atau saluran digital.

“Keutamaan kami adalah kesihatan dan keselamatan ahli serta anggota KWSP. Segala kesulitan amatlah dikesali,” katanya.

KWSP dalam pada itu menyarankan ahli dan majikan menggunakan perkhidmatan dalam talian KWSP iaitu i-Akaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan) -- yang beroperasi seperti biasa.

Pembayaran caruman masih boleh dibuat melalui perbankan internet atau ejen bank berdaftar di kaunter, dan menambah ahli dan majikan disarankan untuk mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KWSP sahaja. - Bernama

Artikel Berkaitan: