Masyarakat digesa lakukan kawalan kendiri

KKM menggesa seluruh masyarakat melakukan kawalan pergerakan kendiri bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
KKM menggesa seluruh masyarakat melakukan kawalan pergerakan kendiri bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
A
A
A

PUTRAJAYA - Susulan tekanan hebat yang dihadapi sistem perkhidmatan kesihatan negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa seluruh masyarakat melakukan kawalan pergerakan kendiri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia boleh dilakukan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Kawalan pergerakan kendiri ini boleh dilakukan dengan duduk sahaja di rumah, tidak keluar jika tiada keperluan penting dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) sekiranya perlu keluar rumah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, majikan digalakkan untuk memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR).

"Majikan juga perlu mengehadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa," katanya.

Beliau berkata, KKM menggariskan 10 langkah kawalan pergerakan kendiri seperti kekal berada di rumah, sentiasa menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap cuci tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman.

"Orang ramai perlu mengelakkan daripada menerima tetamu di rumah dan penggunaan teknologi komunikasi perlu dioptimumkan untuk berhubung dengan sahabat serta sanak saudara," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sekiranya perlu membuat pembelian, orang ramai disaran menggunakan perkhidmatan dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Rancang pergerakan anda bagi mengelakkan kesesakan di tempat awam sekiranya perlu keluar dari rumah.

"Masak makanan sendiri untuk khasiat yang lebih baik dan seterusnya mengelakkan daripada risiko untuk mendapat jangkitan Covid-19," katanya.

Tambahnya, negara masih kekal merekodkan kes harian Covid-19 mencecah empat digit dengan kes aktif ketika ini sudah melebihi 40,000 kes.

"Kebanyakan hospital kerajaan mahupun swasta, serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara juga telah hampir mencecah kapasiti maksimum," katanya.

Apa yang lebih membimbangkan, katanya, terdapat semakin banyak kes positif yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sokongan alat bantuan pernafasan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

"Rakyat Malaysia adalah barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini dan diharap untuk terus patuh duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.

"Kita tiada pilihan lagi, kita mesti jaga kita," katanya.