Gangguan air Selangor: 15 badan kerajaan, swasta disaman

Seramai 810 pengadu di Wangsa Maju yang terjejas dengan gangguan bekalan air pada 3 hingga 9 September 2020 lalu bertindak memfailkan saman ke atas 15 badan kerajaan dan tiga syarikat swasta. Gambar hiasan
Seramai 810 pengadu di Wangsa Maju yang terjejas dengan gangguan bekalan air pada 3 hingga 9 September 2020 lalu bertindak memfailkan saman ke atas 15 badan kerajaan dan tiga syarikat swasta. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 810 pengadu di Wangsa Maju yang terjejas dengan gangguan bekalan air pada 3 hingga 9 September 2020 lalu bertindak memfailkan saman ke atas 15 badan kerajaan dan tiga syarikat swasta.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mewakili 810 pengadu tersebut mengambil tindakan berkenaan setelah menjalankan siasatan selama enam bulan berikutan gangguan bekalan air di Lembah Klang pada September 2020.

Ujarnya, selain menghukum pihak yang mencemarkan sungai, badan-badan kerajaan dan syarikat swasta yang bertanggungjawab untuk mencegah pencemaran juga harus dihukum kerana culas dalam pekerjaan.

“Kita lihat kepada industri air negara, terdapat cukup undang-undang bagi memastikan bekalan air bersih dan berterusan, serta pencemaran sumber-sumber air dapat dicegah.

“Jika semua pihak yang diberi kuasa dan tanggungjawab untuk mencegah pencemaran air melakukan tugas dengan jujur, gangguan bekalan air disebabkan pencemaran sepatutnya langsung tidak berlaku, atau sekurang-kurangnya tidaklah begitu kerap terjadi.

“Kegagalan menunaikan tugas dan kegagalan menguatkuasakan undang-undang telah menyebabkan penderitaan lebih satu juta pengguna dan kerugian ratusan ribu ringgit dana kerajaan,” katanya pada Selasa.

Tambahnya, sebuah syarikat swasta yang dianugerahkan sebuah kontrak kerajaan yang bernilai RM855 juta pada tahun 2017 sehingga kini gagal untuk melaksanakan Program Pemantauan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) dengan berkesan.

“Menurut menteri ketika itu, EQMP merupakan sistem terbaik untuk memantau pencemaran seperti jerebu, tumpahan minyak, buangan industri, dan pembuangan haram dalam negara.

Artikel Berkaitan:

“Namun selepas tiga tahun pelaksanaan EQMP, kita tidak nampak ia memberikan notifikasi penggera pencemaran seperti didakwanya.

“Ia bukan sahaja gagal untuk memberikan notifikasi penggera, malah selepas pencemaran dikesan, ia tidak dapat mengenal pasti pun sumber pencemaran.” katanya.

Yee Kew menegaskan, badan-badan kerajaan perlu mementingkan akauntabiliti dan menggunakan profesionalisme serta kebijaksanaan mereka untuk menilai sama ada syarikat yang ditawar kontrak itu mempunyai kemampuan untuk menjalankan tugas dengan berkesan.