X

Kindly register in order to view this article
!

Pasang bendera sebagai solidariti untuk Palestin

Sebahagian anak muda memasang bendera Palestin dan Jalur Gemilang di Pekan Langkap.
A
A

TELUK INTAN - Penduduk di 12 lokasi termasuk sembilan kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik memasang bendera Palestin sebagai tanda solidariti mereka kepada penduduk di Gaza.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, bendera Palestin itu pada mulanya dipasang di beberapa lokasi sahaja tetapi mendapat banyak permintaan daripada lebih ramai penduduk.

Menurutnya, kawasan yang terlibat memasang bendera Palestin ialah Simpang Tiga Taman Manik, Pusat Khidmat DUN Sungai Manik, Pekan Langkap, Parit 9 Chenderong Balai, Kampung Alor Bakong, Kampung Air Hitam, Simpang 3 Headwork, Kunci Air 4, Parit 7 Permatang, Kampung Attaduri dan Kuala Sungai Manik.

Zainol Fadzi (tengah) turut memasang bendera Palestin dan Jalur Gemilang di pusat khidmatnya sebagai tanda solidariti kepada penduduk di Palestin.
Zainol Fadzi (tengah) turut memasang bendera Palestin dan Jalur Gemilang di pusat khidmatnya sebagai tanda solidariti kepada penduduk di Palestin.

"Sebenarnya idea asal pemasangan bendera itu susulan laporan berita kekejaman rejim Zionis dalam kejadian serangan di Masjid Al-Aqsa ketika hujung Ramadan lalu.

"Sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin yang dibunuh dan teraniaya dengan kejam, beberapa anak muda menggantung bendera Palestin di sekitar kawasan kampung di DUN Sungai Manik ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, semangat yang ditunjukkan golongan belia dan masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang terhadap nasib rakyat Palestin begitu berkobar-kobar.

Penduduk Kampung Tersusun Alor Bakong mengambil inisiatif sendiri menyiapkan bendera Palestin sebelum digantung di kawasan kampung berkenaan.
Penduduk Kampung Tersusun Alor Bakong mengambil inisiatif sendiri menyiapkan bendera Palestin sebelum digantung di kawasan kampung berkenaan.

Zainol Fadzi berkata, ada dalam kalangan mereka bekerjasama menjahit bendera dan ada yang mengutip dana bersama membeli bendera tersebut.

"Saya lihat semangat ini bukan sahaja di Sungai Manik malah kawasan sekitar dan daerah lain juga telah melakukan perkara yang sama sejak pemasangan bendera Palestin di Sungai Manik.

"Kita harap semangat ini berterusan dan bukan itu sahaja penduduk di Sungai Manik turut sama menyumbang dalam tabung khas untuk rakyat Palestin ini," katanya yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak.

Pada 15 Mei lalu, Sinar Harian menyiarkan kisah sekumpulan anak muda menggantung bendera Palestin di Simpang Tiga Sungai Manik sebagai sebagai tanda solidariti penduduk setempat.

ARTIKEL BERKAITAN: Solidariti anak muda untuk Palestin


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!