Bila supermodel Bella dan Gigi Hadid mempertahankan Palestin...

No Image Caption
A
A
A

SUPERMODEL tersohor dunia - Bella dan Gigi Hadid telah mencuri perhatian masyarakat antarabangsa apabila mereka bersuara secara lantang dan terbuka mempertahankan hak rakyat Palestin dalam media sosial.

Bella misalnya, telah memuat naik fotonya yang sedang menangis menerusi laman Instagramnya dengan kapsyen: "Saya berasa satu kesakitan yang amat dalam apabila melihat kesengsaraan yang sedang dihadapi oleh saudara-saudara saya di Palestin hari ini dan setiap hari. Menyaksikan video (serangan Israel) telah merobek hati saya menjadi seratus kepingan yang berkecai. Nyawa bangsa Palestin adalah nyawa yang akan membantu mengubah dunia ini."

Bella, 24, mengakhirinya dengan menulis hashtag Bebaskan Palestin sebanyak tiga kali.

Sebelum ini Bella telah memuat naik beberapa siri grafik yang menyaksikan dua wanita sedang berbual mengenai krisis Israel-Palestin juga di laman sosialnya.

Kandungan perbualan itu cenderung ke arah mengkritik dasar-dasar tidak adil Israel ke atas masyarakat Palestin yang menjadi pelarian di bumi mereka sendiri.

Bella dan Gigi Hadid ialah anak kepada Mohamed Hadid - jutawan hartanah Amerika berbangsa Palestin yang melarikan diri ke Amerika ketika beliau masih kanak-kanak ekoran perang di Gaza dan Tebing Barat.

Dua bersaudara itu adalah supermodel terkemuka dunia dengan pendapatan mencecah berjuta dolar setahun untuk memperagakan pakaian serta pelbagai jenama antarabangsa.

Apa yang menakjubkan adalah walaupun mereka berdua tidak dilahirkan di bumi Palestin dan dibesarkan di Amerika dengan penuh kemewahan dan gaya hidup Barat tetapi rasa kasih sayang serta ikatan terharap bangsa mereka sendiri tidak sedikit pun pudar.

Artikel Berkaitan:

Bella terutamanya tidak pernah berganjak daripada pendiriannya bahawa Israel bukanlah sebuah negara tetapi penjajah yang menjajah bumi Palestin.

Dengan bilangan pengikut di laman Instagram mencecah 41.7 juta - tiga kali ganda jumlah bangsa Yahudi di seluruh dunia - Bella tidak sedikit pun berasa khuatir yang dia akan disisih kerana pendirian tegasnya itu.

Sikap Bella dan adiknya, Gigi wajar menjadi contoh kepada warga dunia yang lain apatah lagi dia berani bersuara walaupun menyedari dunia glamornya dikuasai oleh bangsa Yahudi di Amerika.

Bella bersaudara boleh bila-bila masa sahaja kehilangan kontrak modelling bernilai berjuta dolar jika para pelobi Yahudi bertindak ke atas jenama-jenama pakaian, solekan dan minyak wangi yang mereka peragakan.

Tetapi pada saat dan waktu yang getir seperti ini, Bella dan Gigi mengenepikan kepentingan peribadi mereka untuk bersuara menentang kekejaman Israel dan memutuskan untuk bersama-sama Palestin.

Sesungguhnya, tindak-tanduk mereka sangat berani dan luar biasa.

Mereka boleh sahaja menutup mulut dan tidak memperdulikan apa yang sedang berlaku di Gaza dan Baitulmuqadis kerana mereka bermastautin di Malibu, California.

Namun mereka mengambil keputusan yang sangat-sangat berani walaupun sedar kesan yang bakal mereka hadapi di Amerika nanti.

Bella malah berkata, apa yang sedang berlaku ini bukanlah soal agama, atau membenci antara satu sama lain tetapi ini adalah soal penjajahan Israel ke atas bumi Palestin, ini adalah soal penghapusan etnik, kependudukan militari dan apartied ke atas bangsa Palestin yang telah berlarutan bertahun- tahun lamanya.

"Saya akan berdiri teguh bersama-sama saudara Palestin saya. Saya akan bersuara dan melindungi mereka semampu yang boleh dengan cara saya sendiri. Saya menyayangi anda semua," tulisnya.

Gigi Hadid juga dengan lantang menyatakan; "Saya bukan anti-Israel atau ingin melihat orang Yahudi dibunuh. Saya cuma mahu bangsa saya iaitu bangsa Palestin diberi hak sama rata seperti bangsa-bangsa yang lain. Bangsa Palestin ada yang beragama Kristian dan Islam seperti keluarga ayah saya. Yang saya inginkan ialah pengiktirafan ke atas kewujudan bersama.Itu sahaja...

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian