Sesuaikah PRN Sarawak ketika pandemik?

No Image Caption
A
A
A

PADA 6 Jun ini, tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan berakhir dan ia genap lima tahun selepas tarikh sidang yang pertama iaitu 7 Jun 2016.

Jika dalam keadaan atau situasi yang biasa, DUN Sarawak sepatutnya dibubar dan dikembalikan mandat kepada rakyat negeri berkenaan bagi memilih siapa yang berhak memimpin negeri itu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong berhubung pembubaran DUN tetapi apa yang menjadi masalah adalah situasi negara kini yang dilanda pandemik Covid-19.

Jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 pada Sabtu melibatkan empat angka iaitu 4,140 kes dengan Sarawak di tangga kelima, negeri yang mencatatkan kes harian tertinggi sebanyak 324 kes.

Bilangan kes kumulatif atau keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak juga adalah antara yang tertinggi dengan 37,978 kes.

Negara perlu mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung tahun lalu apabila kes baharu meningkat mendadak selepas PRN diadakan pada 26 September.

Bahkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengakui dalam ucapan khas beliau pada 6 Oktober tahun lalu.

“Saya akui kempen pilihan raya di negeri Sabah juga menjadi antara punca peningkatan kes Covid-19. PRN Sabah terpaksa diadakan apabila Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan DUN Sabah pada 30 Julai yang lalu.

Artikel Berkaitan:

“Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kita tertakluk kepada peruntukan dalam perlembagaan. Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan. Ia tidak boleh ditangguh,” kata Muhyiddin ketika menyampaikan perutusan khas mengenai situasi semasa Covid-19.

Muhyiddin juga sedar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu bagi memastikan Covid-19 tidak merebak akibat kempen pilihan raya diadakan tetapi malangnya ada SOP yang tidak dipatuhi.

Persoalannya, bilakah tarikh yang wajar untuk PRN Sarawak selepas DUN di negeri berkenaan dibubarkan?

Umum mengetahui bahawa Malaysia kini dalam keadaan darurat kesihatan sehingga 1 Ogos ini dan tidak diketahui sama ada ia akan dilanjutkan atau tidak.

Jika PRN Sarawak diadakan tahun ini, tidak mustahil kes Covid-19 di Malaysia tidak akan mencatatkan penurunan, bahkan kemungkinan kes meningkat lebih tinggi lagi.

Kita juga tidak mahu menjadi seperti India dengan situasi di negara berkenaan kian meruncing akibat kes Covid-19 yang tidak terkawal.

Menurut Kementerian Kesihatan India, jumlah kes Covid-19 di negara berkenaan telah melepasi 24 juta pada Jumaat.

Jadi, penulis berpandangan adalah wajar PRN Sarawak ditangguhkan dan tidak diadakan tahun ini dengan mengambil kira situasi semasa serta iktibar daripada PRN Sabah yang berlangsung tahun lalu.

Ramai rakan penulis bertanyakan pendapat waktu bilakah sesuai diadakan PRN Sarawak selepas ia ditangguhkan.

Jawapan penulis, waktu yang sesuai untuk mengadakan PRN Sarawak adalah selepas lebih 80 peratus rakyat diberi vaksin Covid-19 dan mencapai tahap imuniti kelompok seperti yang disasarkan kerajaan.

Jika dilihat sasaran kerajaan mencapai imuniti kelompok selepas tiga fasa Program Imunisasi Covid-19, kemungkinan tahun yang sesuai untuk diadakan PRN Sarawak adalah pada 2022.

Bagaimanapun, semua itu bergantung kepada tahap pendaftaran orang ramai untuk menerima vaksin dan kecepatan pemberian vaksin oleh kerajaan kepada rakyat.

* Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid ialah Wartawan Sinar Harian