Wanita bawa tiga anak lawat suami bertugas di SJR dikompaun RM2,000

Gambar wanita berkenaan bersama tiga anaknya bersalaman dengan seorang anggota polis yang bertugas di SJR pada hari raya Aidilfitri menjadi tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Gambar wanita berkenaan bersama tiga anaknya bersalaman dengan seorang anggota polis yang bertugas di SJR pada hari raya Aidilfitri menjadi tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Polis telah mengeluarkan kompaun terhadap seorang wanita yang membawa anak-anak melawat suaminya yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Persiaran Selatan hala keluar ke Dengkil di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata kompaun itu dikeluarkan semalam di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 [P.U.(A) 225/2021] kerana melanggar SOP PKP dengan menziarah suami di SJR,.

"Pada awalnya, perbuatan tersebut dilihat sebagai satu tanggungjawab isteri untuk memberi sokongan moral kepada suami yang sedang bertugas dengan menghantar juadah di pagi raya.

"Namun, kepentingan awam adalah melebihi kepentingan individu, kita tidak mahu perbuatan sedemikian dijadikan alasan oleh semua ahli keluarga petugas untuk melawat keluarga yang bertugas di lapangan pada Hari Raya atau pun hari biasa," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Mohd Fadzil menegaskan, pihaknya tidak berkompromi sekiranya wujud sebarang pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan.

"Kita akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira sama ada orang awam mahu pun anggota polis sendiri," katanya.

Mohd Fadzil berkata, siasatan lanjut telah dijalankan dan mendapati anggota tersebut dan keluarganya tinggal di dalam daerah Putrajaya.

"Isteri dan anak-anak anggota tersebut telah datang menaiki dua buah kenderaan yang berbeza untuk singgah sebentar bagi menyerahkan juadah Hari Raya Aidilfitri kerana suami bertugas pada pagi hari tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Bagi dakwaan mereka menaiki kenderaan melebihi had tiga orang untuk sebuah kenderaan, tiada kompaun yang dikeluarkan kerana mereka menaiki dua kenderaan berbeza," katanya.

Pada Sabtu, Fadzil berkata, tiada pelanggaran SOP PKP membabitkan wanita bersama tiga anak masing- masing berusia 11 tahun, 10 tahun dan lima tahun melawat suaminya yang bertugas di SJR Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil.

ARTIKEL BERKAITAN:Wanita, anak jumpa suami bertugas di SJR tak langgar SOP