Noorizan semangat mengajar sejak muda

Muhyiddin (dua, kanan) beramah mesra bersama penerima anugerah Tokoh Guru Noorizan Mohamed (tiga, kiri) serta dua penerima Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan Datuk Dr. Amin Senin (dua, kiri) dan Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim (kiri) hari ini. -Foto Bernama
Muhyiddin (dua, kanan) beramah mesra bersama penerima anugerah Tokoh Guru Noorizan Mohamed (tiga, kiri) serta dua penerima Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan Datuk Dr. Amin Senin (dua, kiri) dan Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim (kiri) hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keghairahan mengajar adik-adiknya sewaktu kecil menggerakkan hatinya untuk memilih bidang perguruan sebagai kerjaya dan berkat kegigihannya itu hari ini beliau dinobatkan sebagai penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2021.

Noorizan Mohamed, 65, anak ketiga daripada lapan beradik itu berkata, beliau sentiasa mengajar adik-adiknya mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris di rumah.

“Jadi, dari kecil memang bercita-cita nak jadi guru walaupun ada keinginan menjadi pegawai pertanian ketika berada di sekolah menengah tetapi akhirnya saya dapat meneruskan pengajian dalam bidang perguruan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Ahad

Norizan diumum penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan Tahun 2021 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sempena Hari Guru ke-50 yang bertemakan 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' yang disiarkan menerusi Facebook Live Kementerian Pendidikan (KPM), saluran TV1 RTM, DidikTV KPM dan stesen penyiaran lain hari ini.

Anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan itu yang bersara sebagai pengetua pada 2014 berasa amat bersyukur kerana diberikan penghargaan yang tidak pernah diimpikannya sepanjang kerjaya sebagai pendidik bangsa.

Beliau menyifatkan Tokoh Guru Kebangsaan yang diterimanya sebagai berkat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat dan guru-guru di sembilan sekolah yang pernah beliau bertugas sejak 1980.

Berbekalkan pengalaman Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ahmad Razali, Ampang dan Pengetua di SMK Dusun Nanding, Hulu Langat, Noorizan berjaya menjadikan SMK Jalan Empat Bandar Baru Bangi sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi pada 2011.

Beliau berkata pengalaman bekerjasama dengan guru-guru dan pelajar ke arah menjadikan sekolah itu sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi dan melawat ke Sarawak untuk mendapatkan anugerah berkenaan merupakan pengalaman manis sepanjang kariernya sebagai seorang pendidik.

Artikel Berkaitan:

Norizan memulakan karier sebagai guru di SMK Sungai Besar, Sabak Bernam pada 1980 kemudian di SMK Tinggi Kajang; SMK Kuala Krai, Kelantan; SMK Panji, Kota Bahru; SMK (A) Naim Lilbanat, Kota Bahru; SMK Taman Kosas, Ampang sebelum dilantik Penolong Kanan HEM pada 1998 hingga 2003.

Beliau juga merupakan Pengetua Cemerlang ketika menjadi Pengetua di SMK Jalan Empat Bandar Baru Bangi dan menjadi penasihat pendidikan di SMK Cyberjaya pada 2016 selepas bersara sebelum menjadi penasihat pendidikan dalam membantu program Sekolah Amanah di Jeli, Kelantan sejak 2017. - Bernama