X

Kindly register in order to view this article
!

KPDNHEP Pahang kesan 12 kes di bawah skim harga maksimum

KPDNHEP melakukan pemeriksaan di sebuah pasar raya di Pahang. - Foto Ihsan KPDNHEP Pahang
A
A

KUANTAN - Sebanyak 12 kes membabitkan pelbagai kesalahan dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang sepanjang pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan bermula pada 21 April lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Normaswari Nordin berkata, kes itu membabitkan nilai rampasan berjumlah RM730 selepas 3,100 premis perniagaan diperiksa dengan nilai kompaun sebanyak RM2,100.

"Kita mengesan lapan kes membabitkan kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

"Tiga kes membabitkan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan satu kes membabitkan kegagalan meletakkan tanda harga jualan barangan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, antara lokasi yang dikesan melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ialah di pasar raya dan pasar mini.

Jelasnya, ia melibatkan penjualan ayam standard, ikan kembung dan telur ayam gred A.

Katanya, ada segelintir pemborong dan peruncit didapati meletakkan tanda harga berwarna merah jambu melibatkan penjualan bawang merah besar import, bawang putih dan telur ayam gred B.

"Kita berusaha melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan untung berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan ini.

"Jadi, anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga KPDNHEP Pahang akan terus digerakkan ke lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai mendapatkan barangan keperluan seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya.

"Sesi libat urus dan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan sahabat seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga telah dipertingkatkan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Ops Pantau dilancarkan bagi memastikan perdagangan domestik terus berkembang pesat dengan perlindungan yang lebih efektif ke atas pengguna.

Di bawah operasi itu, katanya, penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih seragam dan bersasar pada musim Ramadan dan Aidilfitri.

"Perkara yang menjadi fokus utama adalah pemantauan bekalan, harga, barangan keperluan asas pengguna, jualan murah oleh premis perniagaan dan penjualan barangan tiruan.

"Pematuhan harga maksimum pada musim perayaan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 juga menjadi fokus," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!