X

Kindly register in order to view this article
!

Anggota polis cedera dilanggar pengedar dadah

Polis berjaya memberkas tiga lelaki disyaki pengedar dadah selepas kereta Proton Wira warna hijau yang dinaiki suspek berhenti dan tersekat di Taman Murni di sini pada Sabtu.
A
A

SEPANG - Seorang anggota polis cedera akibat dilanggar kereta yang dinaiki tiga lelaki disyaki pengedar dadah di Taman Murni di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sepasukan anggota polis telah mengekori sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hijau yang dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan pada jam 5.30 petang.

"Ketika anggota terbabit hendak menghentikan kereta itu, suspek cuba melarikan diri dengan mengundurkan kereta berkenaan dengan laju serta melanggar dua buah kereta jenis Perodua Kancil dan Proton Waja," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Wan Kamarul Azran berkata, suspek turut melanggar kereta anggota polis terbabit sehingga menyebabkan seorang anggota polis tercampak dari kereta yang dinaiki.

"Anggota polis itu mengalami cedera ringan iaitu kesan lebam pada kepala dan kaki," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berjaya memberkas tiga lelaki berusia 20 hingga 29 tahun apabila kereta yang mereka naiki tersekat dan berhenti selepas berlanggar dengan kenderaan lain.

"Kita merampas dua peket plastik yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 10.30 gram yang dianggarkan bernilai RM1,000 dan sebuah kereta Proton Wira," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal urin mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua suspek mengaku terlibat dalam aktiviti mengedar dadah sejak dua tahun lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 353/188 kanun keseksaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!