X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

'Kemanusiaan sudah tiada di bumi Palestin'

Sebuah keluarga Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka di timur Bandar Gaza selepas kempen serangan udara rejim Zionis semakin meningkat. - AFP (Gambar kecil: Lee Lam Thye)
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Perpaduan Malaysia mewakili suara badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel berhubung serangan berterusan ke atas rumah ibadat kaum Muslim di Baitul Maqdis.

Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan berkenaan, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, setiap agama dianuti oleh manusia di bumi ini, hak mereka untuk melakukan ibadat dengan aman tidak boleh dihalang.

"Atas nama kemanusiaan, sesungguhnya apa dilakukan oleh Israel terhadap penduduk Gaza adalah sesuatu yang sangat kejam.

"Di penghujung Ramadan hingga tibanya Syawal, bedilan roket dan bom masih menghujani bumi Palestin yang tidak berdosa. Tiada alasan logik boleh diberikan oleh tentera Israel yang memulakan serangan tatkala kaum Muslim di Gaza sedang menunaikan ibadah.

"Atas apa jua faktor yang mendorong ia daripada berlaku, tetap menunjukkan bahawa kemanusiaan sudah tiada di bumi Palestin," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Justeru, Yayasan Perpaduan Malaysia menyeru semua masyarakat di dunia yang ambil kisah tentang keharmonian dan kesejahteraan setiap umat manusia dalam apa jua agama menyatakan solidariti mereka bersama Palestin.

Pada masa sama katanya, NGO berkenaan ingin menyeru kepada warga Malaysia untuk mengirimkan bantuan semampu yang boleh kepada Palestin bagi membantu mereka menghadapi musibah pada waktu ini.

"Solidariti dalam maya, bantuan kewangan atau barangan atau yang paling sedikit pun, marilah sama-sama kita doakan agar peperangan ini akan segera tamat dan penderitaan mereka berakhir.

"Kita mungkin sedang berhadapan waktu yang sukar tatkala pandemik Covid-19 masih belum berakhir tetapi rakyat Palestin berhadapan detik lebih sukar ketika ini. Marilah kita lakukan apa yang termampu untuk menyokong dan membantu mereka," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!