Israel sasar YouTuber Muslim

Iklan propaganda manipulatif Israel di YouTube. - Foto Agensi
Iklan propaganda manipulatif Israel di YouTube. - Foto Agensi
A
A
A

LONDON - Beberapa YouTuber Muslim yang menjadikan saluran YouTube mereka bagi mendedahkan kekejaman Israel menjadi sasaran iklan propaganda manipulatif rejim Zionis.

Antara YouTuber terbabit termasuklah Ali Dawah yang mempunyai 597,000 pengikut di saluran YouTubenya.

Ali sebelum ini memuat naik tanpa henti video kekejaman dan penindasan Israel terhadap rakyat Palestin sejak ketegangan tercetus di pekarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur.

Namun, sejak Sabtu, pemuda yang sering tampil berdakwah di Speakers Corner di London itu terkejut apabila mendapati video yang dimuatnaiknya diselitkan iklan propaganda Israel.

Iklan propaganda bertajuk 'Israel under attack' itu muncul beberapa saat sebaik sahaja video memaparkan kezaliman tentera Israel di Genting Gaza dimainkan.

Dalam iklan propaganda manipulatif itu, Israel menuduh roket dari Gaza memusnahkan infrastruktur dan mengorbankan nyawa orang awam.

Iklan terbabit turut menunjukkan situasi cemas di Ashkelon, Tel Aviv, Baitulmaqdis, Yehud dan paparan teks mendakwa seluruh Israel diserang.

Israel turut meraih simpati Barat apabila iklan tersebut memaparkan soalan 'Bagaimana jika itu (serangan roket Gaza) berlaku di Washington, Paris dan London?

Artikel Berkaitan:

Menurut Ali, iklan propaganda itu satu tindakan terdesak Israel bagi menutup jenayah kemanusiaan mereka dan mengalihkan kesalahan kepada pejuang Hamas.

"Ya, Hamas lancar roket ke Israel. Tetapi Israel mempunyai kubu bawah tanah untuk orang awam berlindung. Sedangkan roket mereka membunuh ramai rakyat Palestin yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak.

"Mengikut undang-undang antarabangsa, penduduk yang berada dalam kepungan berhak untuk melawan dan mempertahankan diri mereka.

"Salah ke orang-orang Palestin bertindak balas terhadap penindasan ke atas mereka," katanya.

Selain Ali Dawah, saluran YouTuber Muslim yang menjadi sasaran iklan propaganda manipulatif Israel termasuk Mohammed Hijab, Daud Kim, Smile to Jannah dan beberapa lagi saluran yang memiliki jumlah pengikut yang ramai.

Ketegangan di Baitulmaqdis Timur tercetus selepas Israel melarang akses kepada rakyat Palestin di al-Aqsa sepanjang Ramadan dan ketegangan memuncak selepas puluhan keluarga Palestin di Sheikh Jarrah menerima arahan pengusiran paksa dan kediaman mereka dirampas.

Pendatang Yahudi menambahkan lagi api kemarahan rakyat Palestin apabila meraikan keputusan mahkamah itu sambil melaungkan slogan 'kematian bagi orang Arab' ketika perarakan Hari Baitulmaqdis sempena penaklukan pada 1967 oleh tentera Israel.

Lebih teruk, tentera Israel turut melancarkan serangan dengan melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata terhadap umat Islam yang sedang beribadah di Masjid al-Aqsa.

Setakat ini, serangan udara Israel di Gaza meragut lebih 100 nyawa termasuk 86 orang kanak-kanak.

Serangan itu menyebabkan pejuang Hamas melancarkan serangan balas ratusan roket ke wilayah Israel yang sebagian besarnya berjaya dipintas sistem pertahanan Iron Dome.

Hamas kemudian mengusulkan gencatan senjata yang ditolak Israel.

Serentak itu, pelampau Yahudi sayap kanan berkeliaran di jalan-jalan menyerang orang-orang Palestin yang tinggal di wilayah yang diduduki.