Masuk MAPS percuma mulai 1 Mac

Ahmad Faizal (kanan) menerima cenderahati daripada pihak MAPS selepas hadir pada majlis tersebut.
Ahmad Faizal (kanan) menerima cenderahati daripada pihak MAPS selepas hadir pada majlis tersebut.
A
A
A

IPOH - Taman Tema Filem Animasi Studio (MAPS) akan dibuka secara percuma mulai 1 Mac nanti kepada semua pengunjung.

Ketua Eksekutifnya, Shafeii Abdul Ghaffor berkata, pengumuman itu merupakan model strategi perniagaan baharu MAPS yang diperkenalkan.

Beliau berkata, selaras dengan itu, pihaknya akan memperkenalkan sistem kupon bagi semua tarikan yang ada dengan setiap kupon berharga RM3.

"Kita menyedari sebelum ini ada pengunjung yang masuk untuk menemani anak atau cucu mereka tetapi tidak bermain atau masuk ke dalam tarikan yang disediakan.

"Jadi dengan strategi perniagaan baru ini, mereka bebas untuk masuk dan merasai kemeriahan yang ada di MAPS," katanya pada sidang media Pengumuman Model Strategi Perniagaan Baharu 2019 Taman Tema Filem Animasi Studio (MAPS), di MAPS Theatre, Bandar Meru Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, model perniagaan baharu ini memberi pilihan kepada pengunjung untuk menikmati tarikan yang ada dengan harga bermula RM3 hingga RM15.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan kunjungan sehingga 1 juta pengunjung sehingga penghujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, beliau yakin dengan model perniagaan baharu itu yang akan memastikan MAPS terus dikunjungi orang ramai.

Katanya, MAPS juga tidak lagi mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membuka tarikan baharu sebaliknya mereka akan menjalinkan kerjasama dengan pihak luar untuk memperkenalkan tarikan baharu itu.

"Saya amat yakin dengan apa yang direncanakan oleh pentadbiran MAPS hari ini untuk membuka pintu MAPS secara percuma.

"Orang ramai boleh datang beriadah di sini menggunakan fasiliti cuma tarikan sahaja perlu dibayar dan makanan minum.

"Saya percaya dengan cara itu tempat ini akan menerima lebih ramai pengunjung tempatan sekitar bandar raya dan seluruh Perak," katanya.