Tidak boleh 'walk in' ambil suntikan vaksin

Tular di media sosial orang ramai bersesak di hadapan pintu pagar PPV Dewan Sri Guchil, Kuala Krai, di Kelantan yang berpunca daripada mereka yang sedang menunggu giliran bagi mendapatkan suntikan vaksin secara 'walk in'
Tular di media sosial orang ramai bersesak di hadapan pintu pagar PPV Dewan Sri Guchil, Kuala Krai, di Kelantan yang berpunca daripada mereka yang sedang menunggu giliran bagi mendapatkan suntikan vaksin secara 'walk in'
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjelaskan kekecohan yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Guchil, Kuala Krai pada Selasa adalah disebabkan ada individu yang berhimpun bagi mendapatkan giliran suntikan vaksin bagi menggantikan individu yang tidak hadir.

Pengarah JKNK Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, orang ramai yang hadir itu sebenarnya tidak memiliki sebarang janji temu sebagai pengganti penerima vaksin yang tidak hadir.

Beliau berkata, disebabkan itulah berlaku kesesakan sebagaimana yang ditularkan di media sosial, apabila ada sebahagian yang berhimpun semata-mata bagi mendapatkan suntikan pada Selasa.

“Hari ini kita sudah meminta bantuan daripada Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) untuk membuat kawalan di situ dengan lebih ketat.

“Kita berharap masyarakat tidak berpusu-pusu ke tempat sebegitu kerana tiada penjarakan fizikal apatah lagi jika ada yang tidak memakai pelitup muka dengan cara yang betul,” katanya ketika ditemui semasa melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Gelanggang Seni di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yaacob.

Mengulas lanjut Dr Zaini berkata, orang ramai sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya ‘walk-in’, bagi menggantikan mana-mana individu yang gagal hadir menerima suntikan vaksin kerana pihaknya telahpun menyediakan ‘pengganti’.

“Sekiranya individu yang sudah menerima mesej mengenai program suntikan dan tidak hadir, sudah pasti akan berlaku pembaziran pada vaksin kerana bila sudah dibuka ia perlu digunakan.

Artikel Berkaitan:

“Biasanya dalam keadaan sebegini kita akan menghubungi kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia yang sememangnya diarahkan berdaftar,” katanya.

Dalam isu ini juga tidak timbul soal ‘potong barisan’ kerana mereka yang dijadikan sebagai pengganti memenuhi kriteria sebagai penerima vaksin.

PPV Dewan Sri Guchil, Kuala Krai sudah beroperasi sejak 6 Mei lalu dan jumlah individu sepatutnya mendapatkan suntikan adalah seramai 516 orang.

Namun daripada jumlah itu, seramai 282 individu tidak hadir untuk mendapatkan vaksin, pecahan daripada jumlah itu adalah 87 orang pada 6 Mei, diikuti 81 orang pada 9 Mei dan 114 orang pada Selasa. - Bernama