Kompaun serta-merta golongan 'kayangan' langgar SOP

Ismail Sabri ketika sidang media mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika sidang media mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis perlu mengeluarkan kompaun serta-merta terhadap mana-mana individu termasuk orang kenamaan seperti selebriti dan ahli politik yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat yang kerajaan seolah-olah memberi layanan istimewa kepada golongan berkenaan.

“Oleh kerana banyak isu berkaitan seolah-olah ada perbezaan antara ‘kayangan’ dengan bukan ‘kayangan’ dan walaupun ada tindakan dilaksanakan kepada yang dianggap ‘kayangan’ dan dikenakan kompaun, namun tidak dilakukan ‘on the spot’ (serta-merta).

"Kita berpandangan sesiapa sahaja terutama yang melibatkan VIP seperti selebriti dan ahli politik, kalau didapati ada pelanggaran SOP, pihak polis perlu keluarkan kompaun terus, tidak perlu tunggu sehingga berminggu-minggu untuk mendapatkan keputusan daripada Jabatan Peguam Negara dan sebagainya kerana di dalam akta, mereka boleh mengeluarkan kompaun di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di sini pada Selasa.

Menurut Ismail Sabri, tiada individu sama ada yang berstatus kenamaan mahu pun rakyat yang kebal daripada tindakan undang-undang.

Mengulas mengenai tindakan untuk menutup sektor perkilangan, beliau berkata, kerajaan sedang melaksanakan penambahbaikan dari segi penilaian untuk mengesan kilang yang melanggar SOP.

Katanya, setakat ini sejumlah 70 kilang diarah tutup kerana didapati melanggar SOP dan perintah yang dikeluarkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: