Maqis rampas 475kg ikan basah

Ikan basah yang cuba dibawa keluar ke Singapura tanpa permit import yang sah di Kompleks Sultan Abu Bakar pada Ahad.
Ikan basah yang cuba dibawa keluar ke Singapura tanpa permit import yang sah di Kompleks Sultan Abu Bakar pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 475 kilogram (kg) ikan basah tanpa permit eksport yang sah ke Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) pada Ahad.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, pemeriksaan terhadap sebuah lori muatan ikan pada jam 12 tengah malam menemukan lapan jenis ikan antaranya ikan tenggiri, kurau, jenahak, kerapu dan lain-lain lagi yang dimuatkan di dalam enam tong ikan.

"Ikan basah terbabit dianggarkan bernilai RM9,960 dirampas dan pemandu lori berusia 47 tahun telah dibebaskan selepas diambil keterangan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Menurut Hizzun, beliau percaya modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan dagangan yang tidak berpermit bersama dengan ikan-ikan lain yang patuh pada syarat bagi mengelirukan pegawai Maqis.

Maqis menggagalkan cubaan sebuah lori membawa keluar ikan basah ke Singapura tanpa permit import yang sah di Kompleks Sultan Abu Bakar pada Ahad.
Maqis menggagalkan cubaan sebuah lori membawa keluar ikan basah ke Singapura tanpa permit import yang sah di Kompleks Sultan Abu Bakar pada Ahad.

"Perbuatan mengeksport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit eksport yang sah daripada Maqis adalah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

"Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan jaminan keselamatan makanan terpelihara serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan: