'Kekalkan perkhidmatan bas ambil, turun penumpang di Gerik'

Kelab Anak Hulu Perak berharap perkhidmatan sebuah bas mengambil dan menurunkan penumpang di Gerik dikekalkan sepertimana sebelum ini bagi memudahkan penduduk setempat.
Kelab Anak Hulu Perak berharap perkhidmatan sebuah bas mengambil dan menurunkan penumpang di Gerik dikekalkan sepertimana sebelum ini bagi memudahkan penduduk setempat.
A
A
A

GERIK - Kelab Anak Hulu Perak memohon pertimbangan pengurusan sebuah syarikat bas ekspres untuk tidak menghentikan perkhidmatan mengambil dan menurunkan penumpang di Lenggong dan Gerik.

Pengerusi Kelab Anak Hulu Perak, Tajuddin Mohd Ali berkata, keadaan itu berlaku pada awal Januari lepas yang mana perkhidmatan perjalanan ke Kuala Lumpur itu mengambil dan menurunkan penumpang hanya dilakukan di Pengkalan Hulu iaitu kira-kira 45 kilometer dari Gerik.

Menurutnya, keadaan itu menyukarkan penduduk tempatan yang terpaksa menempuh perjalanan tambahan lebih 30 minit, tambahan pula tiada perkhidmatan bas lain disediakan di kawasan itu.

"Sebelum ini, kalau perjalanan dari Kuala Lumpur, bas ekspres itu akan berhenti di setiap lokasi seperti di Lenggong, Gerik, dan Pengkalan Hulu tetapi sekarang, bas hanya berhenti di satu stesen di Pengkalan Hulu sebelum meneruskan perjalanan ke Baling, Kedah.

"Ia dah jadi satu masalah pula kepada penduduk di Gerik untuk pergi ke Pengkalan Hulu sedangkan bas menggunakan laluan yang sama," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, permintaan terhadap perkhidmatan bas itu di Gerik adalah tinggi dengan jualan tiket memberangsangkan sekitar 400 sebulan.

Bagaimanapun katanya, disebabkan Covid-19, jualan tiket bas sekitar tahun lalu hanya mencecah 200 tiket sebulan.

"Ditambah dengan keadaan sekarang yang mana bas tidak berhenti di sini, jualan tiket jatuh, nak sampai 100 sebulan pun payah.

Artikel Berkaitan:

"Penduduk yang mahu ke Kuala Lumpur sekarang terpaksa mengambil bas dari Gerik ke Ipoh dan kemudian menukar bas lain dari Ipoh ke Kuala Lumpur," katanya.

Tajuddin berharap, operasi perkhidmatan bas itu dapat dikekalkan sepertimana sebelum ini bagi memudahkan penduduk setempat.

"Bas ini ada dua perjalanan iaitu sebelah pagi dan malam, kalau dapat dipertimbangkan satu perjalanan untuk ambil dan turun penumpang di sini, itu pun sudah memadai bagi penduduk," katanya.