X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

'Suami beria pilih tema 'maroon' sambut Aidilfitri'

Balu mangsa tembak anggota polis, Nor Fitrah Ramli 25, memangku anaknya, Anurasyfa Alisha 1 di kediamannya di Felda Bukit Damar Lanchang. - Foto Bernama, gambar kanan: Allahyarham Konstabel Norhalim Tumiran
A
A

TEMERLOH - Desakan suami untuk memilih warna maroon atau merah manggis untuk tema raya tahun ini antara kelainan sikap ditunjukkan Allahyarham Konstabel Norhalim Tumiran yang ditemukan maut dengan kesan tembakan pada bahagian atas telinga kanan di sebuah rumah sewa di Taman Permai, Sibu, Sarawak.

Isteri mangsa, Nor Fitrah Ramli, 25 memberitahu arwah suaminya beria-ria untuk memilih warna tersebut berbanding warna pilihannya, hijau.

"Saya pun rasa pelik tapi saya ikutkan kehendaknya yang telah memilih warna tersebut dan arwah suami juga sudah membeli semua keperluan untuk saya, anak menerusi pembelian atas talian.

"Oleh kerana kami tidak dapat beraya bersama kerana arwah perlu bertugas, suami sendiri meminta saya mengubahsuai gambar kami anak-beranak supaya gambarnya diletak bersama saya dan anak-anak," katanya pada Sinar Harian.

Nor Fitrah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani di kediaman keluarga Norhalim di Felda Bukit Damar, Lanchang di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.

Dalam pada itu, Nor Fitrah mengakui, dia masih belum memikirkan sebarang perancangan untuk masa depannya dan anak mereka, Nur Asyifa Alisha setakat ini.

"Cuma arwah suami memang menggalakkan saya menceburi bidang perniagaan malah sepanjang Ramadan kali ini buat pertama kalinya, saya menghasilkan biskut raya, cornflakes madu dan semprit susu yang diletakkan di kedai-kedai untuk membantu meringankan beban suami.

"Sebelum ini, saya pernah bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai 'collector' sebelum berhenti kerja dan kembali ke sini," ujarnya menamatkan zaman bujang mereka pada 19 April 2019.

Dalam kejadian pada 6 Mei lalu, Norhalim, 25 yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti ( JPJKK) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, Sarawak ditemukan maut dengan kesan tembakan pada bahagian atas telinga kanan di sebuah rumah sewa di Taman Permai yang disewa rakannya.

Kejadian berlaku apabila rakannya yang juga anggota polis bergurau sambil mengacukan pistol pada Norhalim yang difahamkan datang ke rumah tersebut untuk bermain permainan komputer sambil menunggu waktu berbuka.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!