Afghanistan sekali lagi jadi tumpuan

A
A
A

PRESIDEN AS, Joe Biden telah mengumumkan pengunduran tentera AS dari Afghanistan menjelang 11 September 2021 bagi memperingati ulangan tahun ke- 20 serangan kumpulan al-Qaeda ke atas Washington dan New York.

Tentera AS telah mula menduduki Afghanistan semenjak Oktober 2001 apabila bekas pentabiran Presiden George Bush Jr. telah mencerobohi Afghanistan dalam usaha memerangi kumpulan al-Qaeda.

Konflik di Afghanistan telah mengakibatkan banyak nyawa terkorban. Sepanjang 20 tahun konflik di Afghanistan, dianggarkan seramai 16,000 orang terkorban dan tentera AS yang terkorban berjumlah 2,448 dan lebih 20,000 anggota cedera.

Pengunduran tentera AS dari Afghanistan akan memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kestabilan China dan rantau Asia Tengah. Ini kerana pengunduran tentera AS akan menyebabkan kekosongan kuasa atau power vacuum serta ketidaktentuan di Afghanistan. Persoalan yang sering kali timbul adalah sejauh mana kerajaan Afghanistan pimpinan Presiden Ashraf Ghani mampu bertahan tanpa kehadiran tentera AS.

Sejarah Afghanistan telah membuktikan bahawa selepas pengunduran tentera Soviet Union (USSR) pada 1989 kerajaan Presiden Mohammad Najibullah telah digulingkan oleh Taliban pada 1992. Presiden Ashraf Ghani mungkin akan terima nasib yang sama. Ini akan menyebabkan Afghanistan berhadapan perang saudara seperti yang berlaku pada awal 1990-an.

Kemungkinan berlakunya perang saudara, akan mencabar kepentingan ekonomi China di Afghanistan dan Asia Tengah bahkan boleh mengancam keselamatan sempadan barat laut China khasnya di wilayah Xinjiang yang menghadapi masalah keganasan dan fahaman ekstremisme.

Ironinya walaupun China sering kali mengkritik kehadiran tentera AS dan NATO di Afghanistan kerana berhampiran dengan Xinjiang di sebelah barat laut China, tetapi hakikatnya kehadiran tentera AS dan NATO turut menyumbang kepada kepentingan dan keselamatan China.

Kehadiran tentera NATO dan AS di Afghanistan telah berjaya mengurangkan pengaruh Taliban yang mampu mencabar pemerintahan China di Xinjiang. China sedar akan pengaruh politik Taliban di Afghanistan tidak boleh diabaikan, malah kerajaan China telah berusaha untuk mengadakan hubungan dengan pemimpin-pemimpin Taliban.

Artikel Berkaitan:

Namun China juga amat khuatir sekira Taliban akan memberi sokongan kepada kumpulan yang memperjuangkan pembebasan Xinjiang daripada China seperti East Turkestan Islamic Movement (ETIM).

Beijing bimbang setelah pengunduran tentera AS Afghanistan akan menjadi tempat pelindungan dan rekrut anggota ETIM. Ini pasti akan mengancam keselamatan dan ketenteraman China kerana China dan Afghanistan berkongsi sempadan sepanjang 90 km di Korridor Wakhan.

Pendapat bahawa setelah pengunduran tentera AS akan menyaksikan China memainkan peranan yang lebih aktif di Afghanistan adalah kurang tepat. Ini kerana keadaan keselamatan di Afghanistan masih belum stabil dan pemerintahan Presiden Ashraf Ghani kemungkinan akan digulingkan oleh Taliban. Kebimbangan ini bukan hanya terhad kepada China tetapi di rantau Asia Tengah.

Pengaruh Taliban bertambah meluas selepas pengunduran tentera AS akan menjadi pemangkin kepada kumpulan-kumpulan seperti Islamic Movement of Uzbekistan (IMU), Hizb ut-Tahrir mempergiatkan perjuangan mereka menjatuhkan rejim sekular di Asia Tengah.

Oleh demikian, China melalui Shanghai Cooperation Organisation (SCO) yang terdiri daripada lapan negara ahli iaitu Rusia, Kazakstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan, Pakistan, India dan China perlu memperkukuhkan kerjasama keselamatan.

Buat masa kini China tidak ada rancangan untuk menempatkan tenteranya di Afghanistan. China tidak mahu mengulangi kesilapan yang dibuat oleh kuasa-kuasa besar yang lalu seperti British, USSR dan AS untuk menghantar tenteranya ke Afghanistan yang terkenal dengan nama jolokan Graveyard of Empire atau tanah kubur empayar.

Beijing mengamalkan pendekatan‘tunggu dan lihat’ selepas pengunduran tentera AS. Pada 2018, China menyalurkan bantuan sebanyak 70 juta AS Dollar bagi memperkuatkan tentera Afghanistan Jelas politik dan keselamatan Afghanistan sekali lagi mendapat perhatian antarabangsa.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya