Yusri akui anak buah terlalu berhati-hati

Yusri Che Lah. - Foto Bernama
Yusri Che Lah. - Foto Bernama
A
A
A

TERLALU berhati-hati terutama pada awal perlawanan antara punca utama kekalahan Skuad Projek FAM-MSN dalam memburu kemenangan pertama musim ini.

Jurulatihnya, Yusri Che Lah mengakui disebabkan itu, anak didiknya berjaya memberi ruang yang amat besar khususnya dalam perlawanan menentang Terengganu FC II (TFC II) untuk terus mendahului dengan tiga gol di hadapan.

"Kita tahu TFC II antara kelab yang kuat dalam Liga Premier dan antara belum tewas. Terlalu berhati-hati (melakukan kesalahan) bakal mengundang bencana bagi pasukan.

"(Kita) perlu segera bangkit, begitu juga pada masa kedua, awal minit kita kena (jaringan gol) dan baki keseluruhan pada malam ini kebanyakan daripada kesilapan yang kita cipta sendiri," katanya selepas perlawanan Liga Premier di Stadium UiTM di sini.

Yusri berkata, walaupun dipisahkan dengan jumlah jaringan agak besar, beliau masih berpuas hati dengan prestasi anak buahnya kerana masih berjaya mencipta peluang-peluang terbaik untuk menambah mata jaringan.

Terdahulu, pesta gol TFC II bermula pada minit ketiga menerusi jaringan penyerang Muhammad Muslimuddin ‘Atiq Mat Zaid sebelum penyerang import, Jordan Mintah mencuri tumpuan apabila meledak empat jaringan pada minit ke-7, 16, 48 dan 53.

Pemain gantian, Muhammad Isa Raman melengkapkan kemenangan bergaya skuad bimbingan Badrul Afzan Razali itu pada minit ke-89 manakala gol sagu hati tuan rumah dijaringkan pada minit ke-51 oleh Muhaimin Izuddin Muhammad Asri.

Perlawanan itu berkesudahan dengan TFC II mencatatkan kemenangan bergaya dengan meledakkan enam gol berbalas satu daripada Projek FAM-MSN.

Artikel Berkaitan:

Kekalahan kesembilan liga dicatat pasukan kendalian Yusri itu menyaksikan mereka kekal terperosok di tangga terbawah liga dengan hanya dua mata manakala TFC II di tangga ketiga dengan 19 mata.