Dua lelaki ditahan ubah suai but kereta edar dadah

Azmi (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
Azmi (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki yang menggunakan taktik licik mengubah suai but kereta untuk ruang lebih luas bagi tujuan mengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Cheras pada Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, polis turut merampas ganja dan ketamin masing-masing seberat 43.9 serta 8.4 kilogram bernilai RM2 juta daripada suspek berusia 44 dan 57 tahun itu.

Beliau berkata, mereka dipercayai memperoleh bekalan ganja dan ketamin itu daripada rangkaian pengedaran dadah antarabangsa dari sebuah negeri di selatan tanah air.

Siasatan mendapati bahawa kedua-dua suspek, yang memiliki rekod jenayah, menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lepas.

“But kereta yang diubah suai itu boleh memuatkan dadah sebanyak 80 kilogram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Azmi berkata, susulan itu, polis menyita dua kereta, sebuah motosikal dan merampas seutas rantai, sebentuk cincin emas serta wang tunai RM3,095.

Beliau berkata, ujian awal air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua lelaki positif dadah jenis ganja.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azmi juga berkata, polis telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM24.2 juta dan menahan 1,061 pengedar sejak Januari hingga April lepas melalui operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur.

“Hasil operasi itu juga, polis telah menahan 1,484 penagih dadah dan 35 individu yang diambil tindakan di bawah Undang-Undang Pencegahan (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya. - Bernama