PKP 3.0: Pas Selangor cadang kerajaan anjur program Kebun Kita

Hantaran Ahmad Yunus di Facebook pada Jumaat.
Hantaran Ahmad Yunus di Facebook pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi mencadangkan kerajaan Selangor mengambil kesempatan atas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menganjurkan program ‘Kebun Kita'.

Beliau menerusi satu hantaran di Facebook berkata, di samping menjadikan aktiviti berkebun sebagai riadah, ia akan menghasilkan sumber makanan sayuran baharu bagi meningkatkan imuniti yang secara tidak langsung mengurangkan perbelanjaan harian.

Menurutnya, Selangor sebagai negeri yang maju berhadapan risiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19 dengan jumlah rakyat yang ramai dan sentiasa bergerak dalam aktiviti harian.

“Saya mahu menyarankan rakyat agar benar-benar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan, tingkatkan imuniti dengan aktiviti riadah dan makan lebih banyak sayuran dan buahan serta minum air yang secukupnya.

“Rakyat perlu mengambil imunisasi seperti yang disarankan oleh kerajaan, di samping teruskan berdoa agar wabak Covid-19 ditarik semula oleh ALLAH SWT, Insya-ALLAH negara kita akan selamat,” katanya pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, kepatuhan rakyat terhadap SOP di Malaysia, khususnya di Selangor masih lemah dan berada di tahap yang rendah.

Ahmad Yunus berkata, beliau pernah mencadangkan agar Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Pertubuhan Pengurusan Taman Perusahaan (IPMC) memainkan peranan masing-masing di Selangor.

“Saya juga pernah menyarankan kepada kerajaan negeri untuk mewujudkan jawatankuasa seperti jawatankuasa Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) untuk membantu kerajaan bagi memberi pendidikan dan melakukan penguatkuasaan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu, saya berpandangan dari awal lagi untuk menekankan soal pendidikan dan penguatkuasaan kerana ia bukan hanya diserahkan kepada pihak berkuasa, tetapi autoriti di semua peringkat kepimpinan dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.