Pemandu lori, kelindan ditahan dipercayai seludup mercun

Abdul Rozak (kanan) menunjukkan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dirampas bernilai RM 80,000 pada sidang media di IPD Besut, pada Rabu. Foto: Bernama
Abdul Rozak (kanan) menunjukkan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dirampas bernilai RM 80,000 pada sidang media di IPD Besut, pada Rabu. Foto: Bernama
A
A
A

JERTIH - Seorang pemandu lori dan kelindannya ditahan semalam selepas dipercayai menyeludup masuk pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM80,000 dari negara jiran untuk dijual bersempena sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata, pemandu berumur 40 tahun dan kelindannya yang merupakan pelajar tingkatan lima itu ditahan bersama lori berkenaan di tepi Jalan Kampung Jebak Puyuh di sini pada 3.45 petang hasil maklumat awam.

“Kedua-dua mereka masuk melalui Kelantan dan dipercayai mengambil upah membawa bahan larangan itu ke sini (Jertih).

“Kesemua 20 jenis mercun dan bunga api tersebut ditemukan di bahagian belakang lori yang ditutup dengan kanvas,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, siasatan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Mereka kini direman selama tiga hari bermula Jumaat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: