Surau sesak, jemaah terpaksa solat di kaki lima

Masjid Kariah Bandar Perdana, Sungai Petani yang sedang dalam pembinaan bagi menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah. Gambar kecil: Amir
Masjid Kariah Bandar Perdana, Sungai Petani yang sedang dalam pembinaan bagi menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah. Gambar kecil: Amir
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pertambahan rumah baharu dan peningkatan jumlah penduduk antara faktor kesesakan di Surau As-Syakirin, Bandar Perdana di sini terutama ketika solat Jumaat dan solat tarawih.

Pengerusi dan Imam Masjid Kariah Bandar Perdana, Dr Amir Mohd Nason berkata, berikutan itu terdapat jemaah terpaksa berpanas apabila menunaikan solat di kaki lima surau dan terkena tempias ketika hujan.

Menurutnya, surau yang dibina pada tahun 2004 hanya mampu memuatkan kira-kira 1,200 jemaah, namun bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik Covid-19, hanya boleh memuatkan 500 orang sahaja.

"Selagi masjid belum siap, Surau As-Syakirin yang menjadi tempat anak kariah menunaikan solat dan menganjurkan program keagamaan turut sesak kerana dijadikan kelas pembelajaran kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) bagi 300 murid.

"Pada tahun 2014, surau ini telah diiktiraf bagi membolehkan solat Jumaat dilaksanakan disebabkan kapasiti anak kariah yang semakin bertambah dan memerlukan ruang yang lebih besar," katanya kepada Sinar Harian.

Ada jemaah perlu solat di kaki lima surau selain ruang yang sama dikongsi dengan kelas pembelajaran Kafa anak-anak sekitar Bandar Perdana.
Ada jemaah perlu solat di kaki lima surau selain ruang yang sama dikongsi dengan kelas pembelajaran Kafa anak-anak sekitar Bandar Perdana.

Amir berkata, disebabkan itu pihak jawatankuasa memohon agar orang ramai membantu dalam usaha mempercepatkan pembinaan masjid yang sedang disiapkan bersebelahan surau.

"Kos keseluruhan masjid dianggarkan RM7.6 juta di mana setakat ini sebanyak RM5 juta telah berjaya dikutip. Pembinaan masjid telah dimulakan pada tahun 2019 dan kini memasuki fasa kedua setelah beberapa kali tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain kekurangan dana.

Artikel Berkaitan:

"Kita masih memerlukan kira-kira RM2.6 juta lagi dana tambahan bagi menyiapkan sepenuhnya bangunan masjid dan infra luaran, sekali gus boleh dimanfaatkan anak kariah secepat mungkin.

"Sebaik sahaja masjid siap dan boleh digunakan, surau pula akan dijadikan kelas Kafa sepenuhnya bagi memberi keselesaan kepada anak-anak mengaji al-Quran," ujarnya.

Beliau berkata, masjid seluas 3,441 meter persegi itu dijangka mampu memuatkan 2,500 jemaah dalam satu-satu masa.

Masjid bakal dilengkapi ruang solat utama, ruang solat muslimat, bilik pengurusan jenazah dan bangunan dapur mampu memberi keselesaan kepada anak kariah.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan kepada akaun 0211-401-000-4736 (Bank Islam) atas nama Masjid Kariah Bandar Perdana.