X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Misi ke Arab Saudi, UAE berjaya tingkat pelaburan

Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengakhiri misi perdagangan dan pelaburan ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menyaksikan komitmen kedua-dua negara untuk terus mempertingkat hubungan unik dengan Malaysia ke tahap lebih strategik, khususnya dalam bidang dagangan serta pelaburan.

Misi yang diadakan pada 26 April hingga 4 Mei, 2021 itu telah diketuai oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam kenyataan pada Jumaat, MITI berkata, antara pencapaian penting misi ke Arab Saudi adalah komitmen kukuh negara tersebut untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia.

Malah, misi berkenaan turut menekankan komitmen untuk menjadikan Arab Saudi sebagai hab pengedaran minyak sawit Malaysia dan produk makanan berasaskannya bagi rantau Timur Tengah serta Afrika Utara (MENA) selain menyokong dasar rantau itu bagi meningkatkan jaminan keselamatan makanan.

“Dari segi potensi pelaburan, syarikat-syarikat di Arab Saudi telah menyatakan komitmen bagi jangka masa terdekat ini untuk membuat pelaburan berjumlah RM200 juta di Malaysia.

“Selain itu, pada masa sama, syarikat Arab Saudi turut komited untuk mendapatkan sumber barangan dan perkhidmatan Malaysia bernilai sehingga RM833.5 juta untuk direalisasikan dalam tahun-tahun akan datang,” katanya.

Menurut MITI, misi tersebut turut membuatkan hasil di UAE apabila syarikat-syarikat negara itu memberi komitmen dalam tempoh terdekat bagi melabur sejumlah RM2.16 bilion di Malaysia selain membeli barangan negara ini yang bernilai RM470 juta.

“Misi ini juga bertepatan pada masanya kerana sejajar dengan dasar pelaburan baharu Malaysia yang komprehensif iaitu Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang bakal dilancarkan.

“Ini merangkumi pembaharuan holistik agenda pelaburan Malaysia yang menekankan teknologi tinggi dan inovasi dengan menumpukan keseimbangan antara ekonomi dan alam sekitar secara mampan berteraskan penanda aras alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) global,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!