X

Kindly register in order to view this article
!

PKP: Bazar Ramadan di Kuala Lumpur dibenarkan

Annuar Musa bercakap ketika sidang media khas mengenai PKP Wilayah Persekutuan di Menara DBKL hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi bazar Ramadan di Kuala Lumpur masih dibenarkan sewaktu tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dikuatkuasakan bermula Jumaat (esok).

Bagaimanapun, operasi bazar terlibat adalah terhad selama lima jam bermula jam 3 petang sehingga 8 malam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, operasi bazar Aidilfitri di Kuala Lumpur sepanjang PKP ini juga akan turut dibenarkan bagi tempoh 12 jam bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

"Selain itu, restoran, kedai, gerai makan, food truck, medan selera, penjaja tepi jalan dan kiosk turut boleh beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam.

"Makan di restoran atau dine-in adalah tidak dibenarkan dan restoran atau kedai makan hanya boleh menyediakan perkhidmatan bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran," katanya menerusi rakaman Live Facebook pada Khamis.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengumumkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta beberapa daerah dan mukim di Terengganu, Johor dan Perak diletakkan di bawah pelaksanaan PKP bermula 7 hingga 20 Mei.

Ismail berkata, PKP di Kuala Lumpur dikuatkuasakan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 17 kluster baharu telah direkodkan sejak 1 hingga 27 April lepas dengan jumlah kes harian yang semakin meningkat

Dalam pada itu, Annuar berkata, menerusi pelaksanaan PKP kali ini, kegiatan ekonomi masih boleh diteruskan namun ia seharusnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) tertentu.

"Semua kegiatan yang diklasifikasikan sebagai aktiviti sosial dinasihatkan agar dapat ditangguhkan sementara waktu sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini.

"Kegiatan seperti lawatan, kenduri, rumah terbuka dan sebagainya juga perlu dibatalkan kerana matlamat PKP kali ini adalah untuk meminimakan pergerakan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!