Covid-19: 3,551 kes baharu, Selangor kekal tertinggi

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia hari ini merekodkan 3,551 kes baharu Covid-19, menjadikan kes kumulatif Covid-19 di dalam negara kini 427,927.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Twitternya berkata, daripada jumlah itu dalam tempoh 24 jam lepas, Selangor masih merekodkan jumlah kes tertinggi melibatkan 1,137 kes diikuti Kuala Lumpur (477) dan Sarawak (391).

Kelantan pula mencatatkan 326 kes, diikuti Pulau Pinang (305); Johor (258); Perak (137); Kedah (112); Pahang (97); Negeri Sembilan (85); Melaka (82); Sabah (69); Terengganu (58); Putrajaya (12); Perlis (tiga) dan Labuan (dua).

Dalam kenyataan media, Dr Noor Hisham berkata, dalam tempoh 24 jam lepas juga, sebanyak 2,709 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatifnya 392,555 kes manakala kes aktif kini 33,762.

Beliau berkata, sejumlah 354 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 199 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan manakala jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 1,610 kes, susulan 19 kematian baharu dilaporkan hari ini.

Katanya, terdapat 14 kluster baharu dikenal pasti hari ini melibatkan lapan kluster tempat kerja, masing-masing dua kluster komuniti dan sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan kluster keagamaan.

"Kluster tempat kerja berkenaan ialah Kluster Batu Arang dan Kluster Industri Platinum di Selangor; Kluster Persiaran Meru Raya dan Kluster Persiaran Greentown Tujuh di Perak; Kluster Jalan Temangan, Kelantan; Kluster Jalan Pertama Empat, Johor; Kluster Industri Lengkuk Teknologi, Negeri Sembilan dan Kluster Jalan Tunku di Sabah," katanya.

Kluster komuniti pula ialah Kluster Kampung Chat di Kelantan dan Kluster Indera Mahkota Lima di Pahang manakala kluster sektor pendidikan ialah Kluster Jalan Sungai Merab (institusi pendidikan KPM) dan Kluster Jalan Teknologi Kota Damansara (pendidikan lain) di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kluster kumpulan berisiko tinggi melibatkan Kluster Jalan Korma di Johor sementara kluster keagamaan ialah Kluster Dah Lubuk Emas di Kedah.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak tujuh kluster tamat hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang ditamatkan ialah 1,322 kluster manakala jumlah kluster aktif ialah 418.

Tujuh kluster yang tamat adalah Kluster Bukit Sera; Kluster Danan; Kluster Jalan Kubota Sentral; Kluster Jalan Kenanga; Kluster Pagar Bukit Chagar; Kluster Tembok Taiping dan Kluster Jalan Taming. - Bernama