X

Kindly register in order to view this article
!

Pemantauan ketat di bazar pada minggu akhir Ramadan

.Azhar menerangkan SOP bazar Ramadan dan Aidilfitri kepada pengunjung.
A
A

KULIM - Polis akan memperketatkan pemantauan termasuk bertindak tegas dengan mengenakan kompaun sekiranya masih berlaku kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan dan Aidilfitri menjelang perayaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, kawalan dan pematuhan akan terus diperketatkan ke atas 11 bazar Ramadan dan satu bazar Aidilfitri di daerah ini khususnya pada minggu terakhir Ramadan.

Menurutnya, ia bagi memastikan pematuhan SOP dalam kalangan peniaga dan pengunjung berada pada tahap tertinggi memandangkan peningkatan kes positif Covid-19 di daerah Kulim yang agak ketara.

"Pasukan yang terdiri daripada 20 pegawai dan 60 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim akan melakukan tugas pemantauan sebagaimana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara," katanya ketika melakukan tinjauan di Bazar Aidilfitri Dataran Kulim pada Rabu.

Beliau berkata, hasil pemerhatian mendapati pematuhan SOP dititik beratkan seperti pemakaian pelitup muka, mendaftar masuk sama ada melalui buku log atau mySejahtera dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

"Saya faham dalam tempoh beberapa hari nak raya, ada yang akan bawa anak-anak untuk memilih baju tetapi pada masa sama, saya ingin tegaskan agar penjarakan penting bagi mengelakkan penularan pandemik ini," katanya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membuat persiapan hari raya di Bazar Aidilfitri Dataran Kulim pada Rabu.
Orang ramai tidak melepaskan peluang membuat persiapan hari raya di Bazar Aidilfitri Dataran Kulim pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau mengharapkan agar pergerakan pengunjung lebih sistematik bagi memastikan penjarakan fizikal sentiasa diamalkan.

"Antaranya memberi kupon masuk kepada pengunjung bagi menghadkan jumlah individu yang berada dalam bazar seperti 70 orang di bazar pertama, 100 ke 150 orang di bazar kedua manakala bagi bazar yang agak besar, lebih kurang 200 ke 250 pelanggan dibenarkan masuk satu-satu masa.

"Dengan cara ini kita dapat mengawal pelanggan di mana yang belum dapat kupon memang dikehendaki beratur di luar, pengumuman akan dibuat agar setiap pelanggan hanya diberikan masa 20 hingga 30 minit bagi memberi peluang kepada orang lain masuk," katanya.

Ia susulan trend kes harian yang tidak menentu di daerah berkenaan termasuk 30 kes yang dicatatkan pada Rabu berbanding 16 kes pada Selasa.

Kulim merupakan antara lima daerah di Kedah yang dikenakan PKP termasuk daerah Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu dan Baling manakala tujuh lagi daerah masih kekal dengan status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 17 Mei depan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!