Guru tadika hamil ditahan bersama 11 ketul ganja

Jafri (tengah) bersama pegawainya menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas dari keempat-empat suspek.
Jafri (tengah) bersama pegawainya menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas dari keempat-empat suspek.
A
A
A
BALIK PULAU - Sepasang suami isteri yang baharu berkahwin dicekup bersama 11 ketulan mampat ganja bernilai RM20,880, awal pagi Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, pasangan yang baharu berkahwin tujuh bulan itu ditahan di sebuah rumah di kawasan Bayan Baru kira-kira jam 1.30 pagi.

Menurutnya, dalam pemeriksaan di rumah tersebut, polis menemui satu ketulan mampat ganja dalam bilik utama rumah yang mempunyai dua buah bilik itu.

"Selepas penemuan tersebut, polis memeriksa sebuah kereta Honda City milik suspek dan menjumpai sebuah beg pakaian di bahagian but kereta tersebut. Setelah dibuka, didapati 10 ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja disimpan dalam beg itu.

"Anggaran berat kesemua ketulan dadah yang dirampas adalah 10.3 kilogram (kg). Pasangan ini masing-masing berusia 25 tahun dan mereka direman lima hari sehingga Jumaat ini.

"Suspek lelaki bekerja di sebuah syarikat pengangkutan manakala isterinya yang kini hamil empat bulan merupakan guru tadika. Kedua-duanya tiada rekod lampau dan negatif dadah," katanya kepada media tadi.

Jafri berkata, susulan daripada tangkapan itu, polis menyerbu sebuah bilik di hotel yang terletak di Sungai Nibong, Bayan Baru.

"Pada hari yang sama, kira-kira jam 4.15 pagi, kita menyerbu sebuah bilik hotel dan menahan sepasang kekasih. Suspek pertama berusia 20 tahun manakala teman wanitanya berusia 19 tahun. Lelaki tersebut bekerja sendiri manakala teman wanitanya merupakan pelajar kolej.

"Tiada sebarang rampasan di bilik hotel berkenaan. Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas kereta jenis BMW yang diletakkan di tempat meletak kereta hotel tersebut, polis menemui 18 ketulan mampat disyaki ganja. Kereta tersebut milik keluarga suspek lelaki.
Artikel Berkaitan:


"Anggaran berat dadah tersebut adalah 18kg dan bernilai RM49,520. Kedua-dua suspek juga tidak mempunyai rekod lampau dan tidak mengambil dadah. Mereka direman enam hari sehingga Sabtu ini," katanya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati, suspek lelaki pertama merupakan rakan kepada suspek lelaki kedua.

"Polis percaya, menggunakan bilik hotel adalah salah satu modus operandi kumpulan ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung berapa lama mereka beroperasi dan dari mana bekalan dadah diperolehi.

"Namun jika dilihat, keempat-empat suspek tidak mempunyai rekod lampau dan kita percaya, mereka baharu melakukan kegiatan ini. Selain itu, kita juga sedang mengenalpasti dengan siapa mereka berurusan," katanya.

Jafri berkata, dalam kedua-dua serbuan itu, polis menyita wang tunai bernilai RM2,500, sebuah kereta Mazda dan motosikal Yamaha LC.

"Jumlah keseluruhan harta yang disita adalah RM46,500 manakala nilai pasaran untuk kesemua dadah yang dirampas adalah RM70,400. Dadah yang dirampas ini, jika terlepas di pasaran, ia boleh membekalkan kepada 56,000 orang penagih.

"Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya.