SPRM Kedah beku harta bernilai RM8.1 juta

No Image Caption
A
A
A

CHANGLUN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Kedah menyita dan membekukan harta termasuk wang tunai dan kenderaan bernilai RM8.1 juta berkaitan rasuah di negeri ini bermula Januari sehingga awal Mei 2021.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, sebanyak 47 tangkapan dilakukan dalam tempoh berkenaan melalui 88 maklumat yang diterima.

Menurutnya, tangkapan membabitkan 26 orang penjawat awam, 19 orang awam dan dua penjawat swasta.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 33 kertas siasatan telah dibuka dan 21 individu telah dituduh di mahkamah," katanya pada sidang akhbar selepas Program Ziarah Kasih Ramadan 2021 SPRM Kedah bersama Hasani Book Store dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah di Masjid Ibnu Sina Kampung Tradisi Lembah Keriang, Changlun pada Selasa.

Program tersebut bertujuan meraikan 30 golongan asnaf dalam kariah masjid yang turut menerima sumbangan hasil derma kakitangan SPRM Kedah.

Shaharom Nizam juga yakin jumlah sitaan dan lucuthak pada 2021 akan meningkat berbanding 2019 dan 2020 berdasarkan jumlah tangkapan dan pertuduhan yang dibuat.

Jelasnya, jumlah penyitaan dan lucuthak pada 2019 sebanyak RM2.25 juta manakala pada 2020 membabitkan RM2.1 juta.

"Kita berusaha memastikan seboleh-bolehnya rasuah dapat diperangi dalam negeri ini hasil kerjasama semua pihak.

Artikel Berkaitan:

"Selain menumpukan kepada penjawat awam, kita juga meminta mereka menyalurkan maklumat individu yang memberikan rasuah," ujarnya.