Kemahiran Bahasa Mandarin bukan prasyarat diterima bekerja: Syed Saddiq

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjawab pertanyaan beberapa hadirin pada Program Townhall Menteri Belia dan Sukan Bersama Mahasiswa, Penggerak Belia dan Persatuan Sukan di Dewan Astaka Universiti Malaysia Pahang (UMP), hari ini. - Foto Bernama
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjawab pertanyaan beberapa hadirin pada Program Townhall Menteri Belia dan Sukan Bersama Mahasiswa, Penggerak Belia dan Persatuan Sukan di Dewan Astaka Universiti Malaysia Pahang (UMP), hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kemahiran berbahasa Mandarin bukan prasyarat bagi siswazah untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat-syarikat utama termasuk dalam bidang automatif di negara ini, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.

“Setahu saya tiada prasyarat kepada siswazah perlu fasih bahasa Mandarin untuk bekerja dalam industri automotif, apatah lagi jika syarikat itu berada di Malaysia.

"Jika graduan kita mahu bekerja di China, itu lainlah, mungkin mereka memerlukan bahasa ketiga ini, hal ini (prasyarat bahasa Mandarin) adalah salah dan sila laporkan kepada saya agar saya boleh bertemu dengan ahli lembaga syarikat itu bagi menjelaskan perkara tersebut," katanya.

Syed Saddiq berkata demikian sebagai menjawab soalan peserta pada sesi dialog majlis Siri Town Hall Menteri Belia dan Sukan yang dihadiri kira-kira 1,000 pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi sekitar Pahang di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini hari ini.

Beliau berkata, fasih dalam bahasa berkenaan sebagai prasyarat untuk diambil bekerja dilihat tidak relevan di Malaysia yang memiliki masyarakat majmuk dan jika berlaku, ia perlu dihapuskan kerana boleh menjurus kepada diskriminasi kaum.

Hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor UMP Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pengarah (Pembangunan Kemahiran) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof.

Dr Daing Nasir Ibrahim dalam ucapannya pula berkata, penganjuran majlis Town Hall Menteri Belia dan Sukan itu amat bermakna kerana aspirasi anak muda dapat dikongsi bersama menteri.

"Pendekatan dimainkan semua pihak dalam membantu pembentukan golongan belia berketrampilan amat penting bagi melahirkan pewaris negara yang berwibawa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, UMP sebagai hos sentiasa menyokong usaha dirintis oleh Kementerian Belia dan Sukan dalam agenda memperkasakan belia atau #YouthPower dengan ilmu kepimpinan dan kemahiran selari dengan kepentingan peranan belia memajukan negara. - Bernama