Aduhai bazar, dalam gembira ada sedih

Penutupan operasi bukan sahaja menyebabkan peniaga hilang pendapatan, malah lebih teruk terpaksa menanggung kerugian kerana sebahagiannya telah membeli barangan mentah lebih awal.
Penutupan operasi bukan sahaja menyebabkan peniaga hilang pendapatan, malah lebih teruk terpaksa menanggung kerugian kerana sebahagiannya telah membeli barangan mentah lebih awal.
A
A
A

PENGUMUMAN kerajaan pada 16 Mac lalu yang membenarkan pembukaan bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini memberi nafas baharu kepada peniaga kecil yang sebelum ini terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kebenaran yang diberikan susulan penurunan kes harian Covid-19 (ketika itu) dibuat dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat mengikut ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selari dengan kebenaran itu, kerajaan telah memberi amaran awal bahawa langkah penutupan akan dilakukan serta-merta sekiranya mana-mana bazar yang beroperasi dikesan gagal mematuhi SOP ditetapkan.

Menjengah reaksi peniaga, rata-rata mereka gembira dengan perkembangan itu hingga ada yang sudah melakukan persiapan awal, menyediakan modal untuk melunaskan bayaran tapak, mengambil suntikan tifoid dan membeli barangan keperluan mentah untuk berniaga.

Mereka tidak segan mengatakan keuntungan diperoleh daripada perniagaan di bazar itu nantilah akan digunakan sebagai perbelanjaan tambahan, lebih-lebih lagi menyambut Aidilfitri. Untung sehari mungkin dalam RM100 hingga RM200, berniaga dalam tempoh 30 hari (Ramadan) dengan anggaran keuntungan RM3,000 itu sudah membuatkan mereka cukup berterima kasih kepada kerajaan.

Keterujaan mereka tidak hanya untuk berniaga tetapi lebih penting dapat mengembalikan semula kemeriahan bazar Ramadan yang menjadi tumpuan masyarakat berbilang kaum selepas tidak dibenarkan beroperasi tahun lalu.

Namun, benarlah kata pepatah, panas yang disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Hari pertama beroperasi, kerajaan sudah menerima banyak aduan orang ramai mengenai ketidakpatuhan SOP di bazar Ramadan.

Kompaun

Artikel Berkaitan:

Perkembangan itu menyebabkan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah lebih drastik dengan memberi kuasa mengeluarkan kompaun kepada penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pengunjung dan penganjur Bazar Ramadan mematuhi SOP.

Gara-gara gagal patuh SOP, terdapat arahan penutupan bazar Ramadan, misalnya di Terengganu, bazar Ramadan Tok Adis di Kuala Ibai yang baru sahaja beroperasi empat hari diarah tutup selama 14 hari sehingga 30 April selepas didapati banyak berlaku pelanggaran SOP.

Di Alor Setar, Kedah, bazar Ramadan Bukit Nyamuk dekat Kuala Nerang diarah tutup susulan pemeriksaan dijalankan mendapati SOP gagal dipatuhi peniaga dan pengunjung.

Tindakan penganjur bazar Ramadan Balok dekat Kuantan, Pahang yang dikesan tidak melakukan pemeriksaan suhu, tiada pendaftaran masuk dan penyediaan laluan sehala mengakibatkan bazar berkenaan turut dikenakan tindakan sama.

Terbaharu, Jabatan Kesihatan Terengganu mengarahkan bazar Ramadan di Kuala Besut dan Bukit Kenak dalam daerah Besut ditutup selama tujuh hari bermula 1 Mei lalu selepas mendapati ada peniaga di bazar berkenaan positif Covid-19.

Arahan terbesar dibuat kerajaan pada 30 April lalu supaya 22 bazar Ramadan daripada 1,073 yang sedang beroperasi di seluruh Malaysia ditutup selepas dikesan wujud ancaman penyebaran Covid-19 berdasarkan pengesanan kontak yang dilaksanakan KKM melalui aplikasi MySejahtera.

Penutupan operasi itu melibatkan tujuh negeri di Semenanjung iaitu empat bazar Ramadan di Johor, Kedah (3), Pulau Pinang (8), Perak (1), manakala masing-masing dua di Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Tanpa berselindung, peniaga-peniaga mengakui, penutupan operasi itu bukan sahaja menyebabkan mereka hilang pendapatan, malah lebih teruk terpaksa menanggung kerugian kerana sebahagiannya telah membeli barangan mentah lebih awal.

Dalam akur menutup operasi, jauh di sudut hati mereka sebenarnya rasa pilu dan kecewa, lebih-lebih lagi penutupan dibuat kurang dua minggu menjelang hari raya. Untung masih belum seberapa, kini menanggung pula kerugian.

Semoga keadaan Malaysia beransur pulih dan baik. Mudah-mudahan melewati 10 terakhir Ramadan ini akan menjadikan rakyat Malaysia orang-orang yang penyabar dalam mencari rezeki.

*Normawati Adnan ialah wartawan Sinar Harian Negeri Perak