Sotong Terengganu jadi habuan nelayan Vietnam

Musim mencandat sotong juga membawa rezeki buat pengusaha bot, nelayan dan tekong kerana memperoleh hasil tangkapan luar biasa sehingga tiga kali ganda berbanding sebelum ini. - Gambar hiasan 123RF
Musim mencandat sotong juga membawa rezeki buat pengusaha bot, nelayan dan tekong kerana memperoleh hasil tangkapan luar biasa sehingga tiga kali ganda berbanding sebelum ini. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

Bagi mereka yang ingin menikmati keenakan hidangan sotong segar bolehlah mula membuat perancangan berkunjung ke Terengganu kerana musim mencandat sudah pun tiba.

Beberapa kawasan perairan di Terengganu kini menjadi tumpuan sepanjang April hingga September kerana lokasi berkenaan menjadi lubuk dan habitat kawanan sotong-sotong yang akan diburu.

Ibarat ‘pasar malam di tengah laut’, aktiviti mencandat sotong dijangka memeriahkan kawasan perairan Terengganu sehingga berdekatan pulau peranginan di negeri itu, antaranya Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Bidong, Pulau Kapas, Pulau Lang Tengah dan Pulau Tenggol.

Musim mencandat sotong juga membawa rezeki buat pengusaha bot, nelayan dan tekong kerana memperoleh hasil tangkapan luar biasa sehingga tiga kali ganda berbanding sebelum ini.

Selain itu, tempahan bot bagi aktiviti mencandat sotong meningkat sehingga ada antara mereka tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.

Dari segi harga sewa bot pula, ia bermula antara RM1,000 hingga RM2,000 untuk satu malam bergantung kepada kapasiti penumpang yang dibenarkan bagi mengelak berlakunya lebihan muatan.

Bagi mereka yang belum pernah merasai aktiviti mencandat sotong, mungkin boleh memanfaatkan peluang yang ada kerana tidak semua akan merasai pengalaman sama.

Perjalanan biasanya dimulakan pada sebelah petang kerana aktiviti mencandat sotong dilakukan sebelah malam dan bot akan kembali semula ke daratan keesokan harinya.

Artikel Berkaitan:

Bergantung kepada ketahanan diri setiap individu, aktiviti mencandat sotong memerlukan kesabaran kerana tidak semua gewang dilemparkan akan mengena.

Jika bernasib baik, umpan tersebut akan diragut sotong, lebih-lebih lagi jika bot yang digunakan mempunyai cahaya terang kerana ia menarik perhatian kawanan itu menghampiri bot berkenaan.

Aktiviti mencandat pada awal musim ketika sotong masih banyak biasanya membawa pulangan lumayan tetapi jika sudah berada di penghujung musim, berlapang dadalah jika hasil diperoleh tidak seperti diidamkan.

Selepas bersengkang mata berjaga malam, kalau tidak kena gaya mungkin ada yang ‘tumbang’ kerana mabuk laut dan tidak tahan dilambung gelombang, malah mungkin ‘tumbang' kerana hasil tangkapan sedikit.

Kebiasaannya mereka yang pergi mencandat akan berkongsi hasil rezeki diperoleh sama rata selepas puas beradu kehandalan untuk melihat siapa berjaya memperoleh tangkapan tertinggi.

Bagaimanapun, dalam kemeriahan musim mencandat sotong, kehadiran kapal-kapal asing juga perlu dipantau kerana mereka hanya menunggu masa sesuai masuk ke perairan negara untuk mencuri hasil laut.

Sotong bersaiz besar yang memberi keuntungan lumayan antara punca nelayan asing terutama dari Vietnam menceroboh masuk untuk menjarah hasil laut. Justeru, agensi penguat kuasa perlu bersiap siaga pada bila-bila masa untuk memainkan peranan mengawal kawasan perairan negara daripada dicerobohi mereka.

Ia kerana sekiranya kapal mereka memasuki dan mencuri hasil di perairan kita, kesemua habitat hidupan laut dikhuatiri akan turut musnah kerana mereka menggunakan alatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan.

Berbalik kepada musim lambakan sotong, walaupun musim ini ia mudah didapati dengan harga murah, jangan pula peniaga mengambil kesempatan untuk tetap menjual makanan dengan harga ‘cekik darah’.

Berpada-padalah mengaut keuntungan. Sekurang-kurangnya pada musim mencandat sotong, peniaga bermurah hati memberi diskaun kepada pelanggan setia. Jika musim sotong susah nak dapat, diberikan alasan sukar dapat sotong, sekarang sudah musim lambakan sotong, apa alasan jual harga mahal?

* Norhaspida Yatim ialah Ketua Biro Sinar Harian Terengganu

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!