Malindo Air lancar penerbangan ke Hokkaido 23 Mac

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malindo Air akan memperkenalkan laluan baharu Kuala Lumpur-Hokkaido, destinasi pertamanya di Jepun, dengan penerbangan tiga kali seminggu bermula 23 Mac, 2019.

Tiga penerbangan itu adalah pada Selasa, Rabu dan Sabtu.

Malindo Air dalam satu kenyataan hari ini berkata tempahan kini dibuka pada harga tambang promosi RM799 bagi Kelas Ekonomi dan RM1,999 bagi Kelas Perniagaan, di laman web Malindo Air, pejabat penjualan tiket, pusat pelanggan dan ejen pelancongan terpilihnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Chandran Rama Muthy berkata, “Hokkaido menandakan satu lagi pencapaian baharu kami, menjadi negara ke-17 yang kami menawarkan perkhidmatan penerbangan dalam rangkaian kami.

“Kami menjangkakan sambutan yang baik bagi laluan ini dan merancang menambahkan kekerapan dalam tempoh terdekat ini.

“Dengan ini, kami juga berharap dapat membawa lebih banyak trafik antarabangsa ke Malaysia, sebagai menyokong pelancongan tempatan dan ketibaan di lapangan terbang,” katanya.

Hokkaido merupakan pulau kedua terbesar di Jepun yang terletak di bahagian paling utara negara tersebut. Bandar tersebut terkenal dengan gunung berapinya, mata air panas semula jadi dan resort ski. - Bernama

Artikel Berkaitan: