Syarikat kapal tanggung rugi besar akibat gangguan komputer

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat penghantaran kontena mengalami kerugian besar berikutan gangguan komputer yang berlaku di Pelabuhan Senari, Kuching, Sarawak pada 27 Mac 2021.

Menerusi kenyataan bersama empat persatuan kapal pada Ahad, gangguan itu bukan sahaja menyebabkan kos operasi mereka meningkat malah menanggung kerugian dari segi pelayaran serta perolehan.

“Kualiti perkhidmatan penghantaran kepada komuniti perniagaan juga terjejas,” menurut Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Malaysia, Persatuan Perkapalan Malaysia, Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Sarawak dan Sabah serta Persatuan Perkapalan Sarawak.

Menurut mereka, jumlah kapal yang menunggu untuk berlabuh meningkat sejak kejadian itu berlaku.

“Sebagai contoh, purata jam menunggu untuk berlabuh meningkat kepada 82 jam pada April, melonjak 183 peratus daripada hanya 29 jam pada Mac.

“Pada masa sama, purata produktiviti pelabuhan merosot 36 peratus kepada sembilan pergerakan kasar sejam (GMPH) daripada purata 14 GMPH,” menurut keempat-empat persatuan itu.

Mereka menjelaskan, kapal yang dirancang dengan tujuh hari pelayaran (dari Pelabuhan Klang ke Kuching dan kembali semua ke Pelabuhan Klang dalam masa tujuh hari) tidak mampu melaksanakannya disebabkan kesesakan pelabuhan dan produktiviti yang teruk.

“Purata tempoh berada di pelabuhan (mulai waktu ketibaan sehingga pelepasan) juga melonjak 180 peratus kepada tujuh hari pada April berbanding hanya 2.5 hari pada Mac,” menurutnya.

Artikel Berkaitan:

Keempat-empat persatuan itu menambah, kelewatan berpunca dari Terminal Pelabuhan Senari pasti mengakibatkan gangguan rantaian bekalan bagi pasaran Sabah dan Sarawak keseluruhannya.

“Banyak kapal mengalami kelewatan di pelabuhan-pelabuhan lain di Sabah dan Sarawak susulan gangguan di Terminal Pelabuhan Senari, yang menjejaskan bekalan kontena kosong bagi tempahan baharu oleh syarikat kapal di Semenanjung Malaysia,” jelas mereka.

Mereka juga memaklumkan prestasi perkhidmatan pelabuhan itu tidak bertambah baik sejak bertahun-tahun kerana kekurangan pelaburan modal untuk meningkatkan peralatan dan sistem teknologi maklumat (IT) sudah terlalu lama.

“Kami berpandangan terdapat keperluan mendesak (untuk Lembaga Pelabuhan Kuching) mengkaji semula sistem pengurusan pelabuhan itu secara menyeluruh, termasuk model pengoperasian pelabuhan,” menurut mereka. - Bernama