20 lagi barang keperluan dikawal harga mulai 6 Mei

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenal pasti 20 jenis barangan lagi bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2021 fasa kedua.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kategori barangan harga terkawal berkenaan terdiri daripada sayur-sayuran, barang kering dan hasil laut.

“Fasa kedua akan berkuatkuasa selama 15 hari bermula pada 6 Mei sehingga 20 Mei 2021, tujuh hari sebelum perayaan, sehari pada hari perayaan dan tujuh hari selepas hari perayaan.

“Kementerian menjangka barang keperluan lain yang bersangkutan dengan HRP akan menerima permintaan tinggi menjelang 1 Syawal dan kemungkinan menerima tekanan dari sudut harga,” katanya melalui kenyataan media pada Sabtu.

Nanta berkata, 20 barangan bagi SHMMP HRP 2021 fasa kedua itu melibatkan tomato, cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), kacang panjang, sawi hijau, terung panjang, timun, halia tua, kelapa biji (borong sahaja) dan kelapa parut (runcit sahaja).

Menurutnya, antara yang lain lagi adalah bawang merah besar import (China), bawang besar (Holland), bawang putih (China), cili kering, ubi kentang import (China), kacang tanah, ikan segar beku kembung (berat antara lapan hingga 10 ekor sekilogram), ikan segar beku selar (berat antara lapan hingga 10 ekor sekilogram), ikan segar beku selayang (berat antara 12 hingga 14 ekor sekilogram) dan ikan demuduk (sagai, cermin atau cupak) (berat antara tiga ekor hingga lima ekor setiap kilogram) (Sabah sahaja).

“Dengan penambahan ini, jumlah keseluruhan barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMMP HRP 2021 adalah sebanyak 32 barangan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pelaksanaan SHMMP HRP 2021 secara berfasa itu dibuat berdasarkan data dan bukti harga barangan di pasaran serta maklum balas pengguna.

Artikel Berkaitan:

“SHMMP bertujuan untuk menstabilkan harga barang yang kritikal yang menjadi menu utama bagi sesuatu perayaan untuk membolehkan seramai mungkin rakyat merayakan setiap perayaan dalam suasana tenang, ceria dan harmonis,” katanya.

Pada 19 April, Nanta berkata, pihaknya mengenal pasti sebanyak 12 jenis barangan bagi pelaksanaan SHMMP 2021.

Katanya, barangan harga terkawal itu terdiri daripada empat kategori iaitu ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.