Keselamatan, akses bantuan penting untuk rakyat Myanmar, kata EU

Kesatuan Eropah - Foto AFP
Kesatuan Eropah - Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Eropah (EU) menegaskan mengenai kepentingan memberikan bantuan kemanusiaan yang cepat, selamat dan akses tanpa halangan kepada pelarian, penduduk yang dipindahkan dan golongan yang memerlukan di Myanmar berikutan pergolakan politik di negara itu.

Perwakilan Tertinggi EU untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan, Josep Borrell berkata, kesatuan politik dan ekonomi akan terus memberikan bantuan kemanusiaan, sesuai dengan prinsip kemanusiaan, berkecuali, tidak memihak dan bebas kepada rakyat Myanmar.

EU sedia bekerjasama dengan Pusat Penyelaras Bantuan Kemanusiaan ASEAN.

"Kesatuan Eropah juga sangat bimbang dengan meningkatnya konflik bersenjata dan pertempuran serta tindakan ketenteraan baru-baru ini yang telah menyebabkan orang awam terkorban dan ribuan lagi terpaksa berpindah.

"Kesatuan menyeru gencatan senjata yang efektif segera dilaksanakan bagi menghindari peningkatan keganasan," katanya dalam satu kenyataan berhubung lima konsensus yang dicapai pada Mesyuarat Khas Pemimpin ASEAN (ALM) mengenai krisis Myanmar di Jakarta, Indonesia Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Borrell yang juga Naib Presiden Suruhanjaya Eropah berkata lima konsensus itu adalah langkah pertama yang positif dan penting untuk memulakan proses mengakhiri keganasan dan mengembalikan demokrasi di Myanmar.

Beliau berkata, EU bersedia menyokong ASEAN, Pengerusi, Setiausaha Agung dan Utusan Khasnya dalam mengatur dialog yang konstruktif dengan semua pihak berkepentingan bertujuan mengembalikan demokrasi di Myanmar.

Dalam konteks itu, EU turut menyambut baik usaha Jawatankuasa Perwakilan Pyidaungsu Hluttaw (CRPH) serta Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan pasukan pro-demokrasi lain yang berusaha mencari penyelesaian damai terhadap krisis semasa di negara itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: