X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu sebak lihat anak, menantu ditahan kerana dadah

Antara suspek yang ditahan AADK dalam serbuan yang dilakukan di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ibu tidak dapat menahan sebak apabila pasukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan dua anak dan seorang menantunya di rumah mereka di Desa Tasik, Sungai Besi di sini pada Khamis kerana terlibat dengan dadah.

Ketua Pegawai AADK Daerah Cheras, Mohd Ridhwan Mohd Rodzmi berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 10 malam ketika kesemua mereka sedang leka menghisap dadah.

Beliau berkata, kesemua yang diberkas berumur 27 hingga 38 tahun.

"Ketika serbuan dilakukan, ibu suspek yang menghidap kencing manis kronik tidak dapat menahan sebak apabila pasukan AADK menahan ketiga-tiga mereka di rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut menahan beberapa lagi individu yang dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

"Kita turut merampas dadah disyaki syabu seberat 0.4 gram dan menahan dua suspek kerana dipercayai memproses serta menjual air ketum di kedai memproses santan kelapa di Taman Ikan Emas, Cheras.

"Sebanyak 40 bungkus plastik lut sinar berisi cecair yang dipercayai mengandungi air ketum dengan anggaran 15.1 liter turut dirampas," kata beliau.

Menurutnya, kesemua suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Cheras.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan) Pindaan 1998," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!