Empat permasalahan pekerja perlu terus diberi perhatian

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggariskan empat perkara utama yang perlu terus diberi perhatian kerajaan demi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kebajikan warga penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, sempena sambutan hari pekerja, permasalahan yang dihadapi oleh pekerja yang penting untuk diselesaikan merangkumi tangga gaji rendah, peluang kenaikan pangkat, isu harga rumah tinggi dan kos sara hidup tinggi.

“Masih ramai pekerja di Malaysia yang gaji mereka berada di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan negara iaitu RM2,208. Daripada segi laluan kerjaya, pekerja bawahan didapati tidak mendapat peluang peningkatan kerjaya walaupun mempunyai kemahiran dan keupayaan yang baik.

“Kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada isu harga rumah yang terlalu tinggi berbanding pendapatan yang diterima sehingga menjejaskan kemampuan untuk memiliki kediaman impian.

“Selain itu, mekanisme terbaik juga perlu dicapai bagi mengatasi peningkatan kos sara hidup terutama di bandar-bandar besar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya menghargai kerjasama dan penghargaan diberikan oleh kerajaan yang sentiasa mendengar permintaan serta permasalahan yang dibawakan Cuepacs melibatkan penjawat awam dan perkhidmatan awam di Malaysia.

Katanya, hubungan Cuepacs dan kerajaan pada ketika ini berada pada tahap yang baik apabila kerajaan sentiasa terbuka mendengar cadangan serta pandangan yang disalurkan.

“Cuepacs berharap hubungan toleransi, keharmonian dan kerjasama yang lebih erat dapat diterjemahkan antara kesatuan sekerja, kerajaan dan majikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tema sambutan Hari Pekerja Cuepacs pada tahun ini ialah 'Pekerja Teras Mendepani Cabaran'.

Tema ini dipilih kerana ia bersesuaian dengan peranan warga kerja perkhidmatan awam yang sentiasa menjadi tunjang kepada kerajaan dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19 yang dihadapi negara ketika ini.