Dua daripada 12 permohonan penjualan bunga api lulus

Hanya dua daripada 12 permohonan yang diterima bagi penjualan bunga api sudah diluluskan setakat ini. - Gambar hiasan
Hanya dua daripada 12 permohonan yang diterima bagi penjualan bunga api sudah diluluskan setakat ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Hanya dua daripada 12 permohonan yang diterima bagi penjualan bunga api sudah diluluskan setakat ini, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Menurut beliau, dua permohonan yang diluluskan itu kerana memenuhi syarat sebagaimana yang ditetapkan seperti peniaga mestilah warganegara sama ada peniaga kecil atau peruncit, lesen berniaga yang mengandungi senarai bunga api jenis dipamerkan dan tempoh jualan 30 hari sahaja.

Selain itu, katanya peniaga juga perlu mempunyai tempat simpanan selamat serta diperakui dan mempunyai kebenaran.

"Antara perkara yang tidak dibenarkan ialah menjual bunga api kepada pembeli berusia kurang 18 tahun, urus niaga secara dalam talian dan di kedai makan.

"Semua pihak yang menjalankan perniagaan berkenaan diberi peringatan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shafien Mamat
Shafien Mamat

Dalam perkembangan berkaitan, Shafien berkata, semua Balai Polis di sempadan Malaysia-Thailand di empat daerah bersempadan seperti Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli akan diarahkan supaya sentiasa memantau sebarang percubaan membawa masuk mercun.

Katanya polis akan memberi tumpuan terhadap ’lorong-lorong tikus' dan pangkalan haram kerana yakin akan ada cubaan daripada kumpulan penyeludup untuk membawa bahan itu ke sini.

Artikel Berkaitan:

Rabu lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membenarkan penjualan 36 jenis bunga api bagi musim perayaan Aidilfitri tahun ini selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi kelulusan bagi mengimport, menyimpan dan berniaga secara jualan umum sempena musim perayaan.

Bagaimanapun, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (AKta 207) yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

Difahamkan, harga bagi bunga api yang dijual secara ‘sembunyi’ kini semakin mahal kerana kesukaran mendapatkan bekalan dari negara jiran disebabkan kawalan ketat yang dilakukan oleh pasukan keselamatan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Op Benteng. - Bernama